Ibu Nabil Zamanhuri sahkan anak meninggal akibat serangan jantung
Faida Rahim
Mei 26, 2024 19:34 MYT
Mei 26, 2024 19:34 MYT
KUALA LUMPUR: Ibu penyanyi Allahyarham Nabil Zafril Zamanhuri, Fatimah Abdullah mengesahkan kematian anaknya pada pagi tadi disebabkan serangan jantung, berdasarkan hasil siasatan post mortem hospital.
Dalam pada itu, Fatimah memberitahu ia juga berkemungkinan berkait dengan stres (tekanan) termasuk cara pemakanan tidak teratur.
“Mungkin dia ada juga stres sikit-sikit... macam cara kita makan, (saya) faham kerja kadang-kadang tak sempat makan.
“Kadang-kadang makan benda yang tak patut, seperti makan fast food (makanan segera) yang contribute to the lifestyle (menyumbang kepada cara hidup).
"Doktor cakap it’s the lifestyle (ia berkait cara hidup). Benda tu kalau tahu awal boleh dirawat awal. Dia ada plan dah untuk buat medical check up (pemeriksaan kesihatan) tapi tak sempat,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Ahad.
Namun begitu, Fatimah tetap reda dengan pemergian anak keduanya itu pada hari ini.
Allahyarham Nabil selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana pada jam 6.20 petang tadi.
Turut kelihatan di pengebumian Allahyarham Nabil adalah pengacara Nabil Ahmad, penyanyi Datuk Nora Ariffin dan penyanyi Lah Ahmad.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Adelia Citra Hapsari dan dua cahaya mata perempuan.