"Ibu masih layan saya seperti anak kecil" - Michelle Yeoh

Agensi
Mac 4, 2023 08:07 MYT
Michelle Yeoh sentiasa mengagumi ibunya, Janet Yeoh yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaannya dalam dunia perfileman antarabangsa. - Gambar Facebook Michelle Yeoh
TAN Sri Michelle Yeoh sentiasa berpendapat, ibunya, Datin Janet Yeoh memiliki kelebihan untuk muncul sebagai seorang bintang filem yang hebat.
Masakan tidak, aktres ternama kelahiran Malaysia yang kini semakin masyhur di Hollywood itu sentiasa melihat kecintaan ibunya pada dunia seni tidak pernah pudar sehingga anak sendiri yang kini berusia 60 tahun masih dilayan seperti anak kecil berusia 6 tahun.
Kata pelakon filem Everything Everywhere All At Once itu, ibunya Janet yang berusia 83 tahun sangat meminati filem dan sentiasa optimis bahawa anaknya itu akan muncul sebagai bintang filem yang berjaya.
“Ibu saya sangat meminati keseluruhan aspek mengenai pementasan. Bahkan, sehingga ke hari ini, apabila kami menganjurkan majlis hari lahir, acara itu seakan sebuah konsert. Ibu akan menukar beberapa persalinan dan dia akan muncul di pentas serta menghiburkan tetamu. Kerana itu, saya percaya beliau boleh menjadi seorang bintang filem yang hebat,” kata Michelle yang juga calon Pelakon Filem Wanita Terbaik Oscar 2023 dalam satu wawancara dengan media antarabangsa baru-baru ini.
Pada usianya 60 tahun, Michelle tanpa berselindung mengakui, ibunya masih melayannya seperti anak kecil, namun, memahami itulah cara wanita yang dikaguminya itu menterjemahkan kecintaannya.
Masih terngiang-ngiang di telinga aktres tersohor itu reaksi ibunya selepas menonton filem Everything Everywhere All At Once lakonan anaknya itu.
“Kenapa kamu nampak sangat tua dalam filem itu?” Itu soalan yang dilontarkan Janet kepada anaknya yang memegang watak Evelyn Wang.
(Everything Everywhere All At Once merupakan filem yang membuka peluang kepada Michelle meraih banyak pencalonan dalam acara anugerah perfileman antarabangsa)
Dan Michelle hanya mampu ketawa seraya berkata: “Dia masih layan saya seperti umur saya 6 tahun. (Sekiranya Janet berada di sini sekarang) Ibu saya pasti akan menyoal sama ada saya sudah menyikat rambu atau tidak? Kenapa tidak mengenakan solekan pada muka dan memakai pakaian yang lebih cantik? Sekiranya kami berada di rumah ketika ini, pastinya ibu saya akan sediakan beberapa pakaian untuk saya. Itu cara dia menunjukkan kasih sayangnya.”
Sebagai anak, Michelle tidak pernah lupa untuk memuji kehebatan Janet yang menjalankan tugas seorang ibu dengan sangat baik sehinggakan wanita itu digelarnya “seorang adiwira sejati.”
“Semua ibu adalah adiwira sejati. Mereka memikul beban dunia di atas bahu mereka setiap hari. Sebilangan besar melakukannya,” kata Michelle merakamkan penghargaan buat kaum ibu.
#Michelle Yeoh #Oscar #Janet Yeoh #Everything Everywhere All At Once
;