Ibu Maryam tunjuk minat dalami Islam, belajar solat dan pakai tudung
Gempak
Ogos 1, 2023 11:52 MYT
Ogos 1, 2023 11:52 MYT
PELAKON dan pempengaruh yang dikenali sebagai Maryam Durian Kimchi akui ibunya menunjukkan minat untuk mendalami Islam.
Kata Maryam atau nama penuhnya Maryam Younare, ibunya sendiri mahu belajar solat serta mengenakan hijab ketika berkunjung ke Malaysia baru-baru ini.
"Ketika ini, ibu sedang cuba belajar mengenai Islam. Kami hanya menyokong dan tak pernah memaksa. Bila ramai yang berikan komen positif, saya dapat melihat betapa sayangnya Allah pada kita.
"Melalui saya, Allah nak tunjuk sebenarnya ramai yang sayang sesama manusia lain walaupun berbeza agama. Mereka turut mendokan yang baik-baik dan tidak memaksa.
"Ibu mungkin ada terdetik nak memeluk agama Islam sebab ketika saya mula mengenakan hijab, dia juga nak cuba pakai hijab.
"Dia juga sudah mengelak untuk makan daging khinzir dan kini sudah mengenakan pakaian yang tertutup. Lagi tertutup daripada saya.
"Saya pun tak sangka dia nak bawa balik telekung ke Korea. Saya pernah bawa ibu ke masjid untuk solat Subuh dan dia minta saya untuk mengajarkannya cara solat.
"Agak sukar untuk saya bercakap mengenai perkara ini. Ibu belum pernah lafazkan syahadah tapi dia sudah pun belajar mengenai Islam," katanya kepada Astro Gempak.
Maryam yang berasal dari Korea itu berkongsi perkara berkenaan ketika majlis sidang media filem Mat Tudung Begins yang berlangsung di TV, One Utama, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, Maryam berkata ibunya seronok berkunjung ke Malaysia dan memberitahu hasratnya untuk menetap di sini.
"Baru-baru ini ibu datang ke Malaysia selama dua minggu. Selepas pulang, dia telefon bagitahu, seperti mahu pindah rumah ke Malaysia. Dia sangat puas hati di sini.
"Lebih-lebih lagi, dia tengok orang Malaysia ini sangat tenang dan gembira. Budaya di Korea, mereka lebih selesa meluangkan masa bersama kawan-kawan berbanding keluarga.
"Ibu pun teruja melihat bagaimana rakyat Malaysia sangat menyayangi saya. Dia berpuas hati.
"Jadi, kalau ibu betul-betul nak berpindah, saya akan menyokong," akhirinya.
Maryam memeluk Islam sebelum berkahwin dengan Ryzal yang juga pempengaruh dari Malaysia beberapa tahun lalu.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Rina yang berusia dua tahun. -Gempak