Ibu Ella meninggal dunia dalam tidur

Astro Awani
Mac 11, 2021 10:56 MYT
Ella tabah dan reda menerima ketentuan Allah yang menjemput pulang ibunya, Yang Asmah Long ke rahmahtullah. - Gambar Instagram ELLA
KUALA LUMPUR: Ratu rock terkenal tanah air, Ella reda dan pasrah dengan ketentuan Allah yang menjemput pulang ibunya, Yang Asmah Long ke rahmahtullah.
Itu yang digambarkan suami penyanyi berkenaan, Azhar Ghazali kepada Astro AWANI ketika ditanya mengenai keadaan Ella sebaik mendapat khabar pemergian ibunya pada usia 92 tahun.
“Sebaik menerima panggilan, saya dan Ella terus bergegas pulang ke Klang dari Melaka. Kami tiba di rumah sekitar pukul 6 pagi. Alhamdulillah, kami dapat bersama-sama dengan ahli keluarga lain menguruskan jenazah,” kata Azhar ketika dihubungi Astro AWANI.
Ella dan Azhar berada di Melaka kerana menghadiri kursus yang sepatutnya berakhir hari ini.
Allahyarham Yang Asmah ibu kepada Ella menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 2.30 pagi Khamis kerana sakit tua di kediamannya di Telok Gadong, Klang.
“Ketika ini jenazah sedang diuruskan untuk pengebumian,” kata Azhar lagi.
Jenazah Allahyarham Yang Asmah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, sekitar pukul 11 pagi ini.
Sementara itu, berita pemergian Yang Asmah ke rahmahtullah turut dikongsi di laman Facebook Ella Aminuddin.
Berita sedih itu turut mendapat perhatian lebih 1,000 kenalan dan peminat-peminat Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 54, yang mengucapkan salam takziah buat penyanyi itu dan seluruh keluarga.
Mereka turut mendoakan semoga roh Allahyarham Yang Asmah dicucuri rahmat serta memberikan kata-kata semangat kepada Ella dan seluruh keluarga agar tabah dengan pemergian ibu tercinta.
#ibu Ella #meninggal dunia #sakit tua #92 tahun #meninggal dunia dalam tidur
;