Ibu Anas, Faizal Tahir meninggal dunia

Astro Awani
Januari 14, 2024 13:30 MYT
Ibu Faizal dan Anas, Muzlipah Aishah Pawanteh, meninggal dunia pada hari ini. - Gambar/ Instagram aanastahirr
KUALA LUMPUR: Ibu kepada komposer dan penyanyi, Faizal Tahir dan penyampai radio Zayan FM, Anas Tahir iaitu Muzlipah Aishah Pawanteh, meninggal dunia pada pagi Ahad.
Beria duka itu dikongsi Faizal dan Anas menerusi media sosial mereka.
“Rehatlah dan tenanglah di negeri abadi mama, cinta hati pertama saya.
“Mama dah buat yang terbaik untuk kami semua. Anak-anak masih ada urusan di dunia. Kami menyusul kemudian. Insya-Allah,” tulis Faizal.
Sementara itu, Anas yang turut meluahkan perasaan sedih sempat mengimbas kenangan bersama ibu tercinta.
“Mama.. terima kasih doakan anak mama selama 48 tahun. Terima kasih mama usung anak-anak mama dalam perut sampai bengkak kaki untuk tujuh orang anak termasuk seorang yang mama pernah gugur dulu.
“Sekarang anak-anak mama akan doakan mama pula dengan berbaki usia hidup kami yang menjadi rahsia Allah Azzawajalla,” ujarnya.
Solat jenazah dijangka selepas zohor di Masjid Puncak Alam, dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam.
#Faizal Tahir #Anas Tahir #meninggal dunia #ibu meninggal dunia
;