'Ibarat kais pagi makan pagi...': Yazit Search
Sinar Harian
Januari 26, 2018 09:43 MYT
Januari 26, 2018 09:43 MYT
BEKAS pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad memberitahu hidupnya kini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Sejak saya sakit, saya tidak ada pendapatan tetap. Cuma sejak akhir-akhir inilah baru saya rasa kuat untuk bergerak sikit. Dengan kekuatan itulah saya mencari rezeki.
"Antaranya sekarang saya berniaga secara online. Ada jual barang-barangan kraftangan dan makanan. Bolehlah untuk cari rezeki sikit-sikit," ujarnya.
Tambah Yazit, dia sedar orang lain tidak boleh membantu beliau untuk selama-lamanya.
Oleh itu, prinsipnya kini adalah tidak meminta, namun jika ada yang mahu memberi secara ikhlas, beliau tidak menolak.
"Orang dah tak boleh selalu tolong kita. Kena buat sendiri, kerja sendiri," katanya.
Yazit yang kini berumur 55 tahun turut memberitahu yang beliau masih lagi menjalani rawatan sakit buah pinggang selain menghidapi asma.
“Ya, saya masih teruskan rawatan dialisis dan tiga bulan sekali jumpa doktor. Dah jadi rutin harian hidup.
"Jadi, kos untuk rawatan dan ubat-ubatan saya perlukan lebih kurang RM3,000 sebulan. Saya juga ada dapat bantuan dari Baitulmal iaitu sebanyak RM250 sebulan,” jelasnya.
Selain berniaga secara online, Yazit juga berharap pada jualan album Rampage Rempuh yang kini sudah boleh dibeli menerusi Facebook miliknya.
Rampage dianggotai oleh Yazit (dram), Moq (penyanyi), Zham (bass), Jemboo (gitar) dan Rithan (gitar)
Bercerita mengenai perkembangan lainnya, Yazit turut memberitahu bahawa dia turut terlibat dalam perhimpunan Festival MyAqsa yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Januari ini.
Festival ini menghimpunkan lebih 100 ulama dari seluruh dunia bagi membincangkan isu berkaitan Baitulmaqdis dan Palestin.
"Saya seru semua artis untuk turut serta dalam program ini. Ini adalah perjuangan kita sebagai umat Islam.
"Saya terlibat dalam program ini pun tidak ada bayaran, ikhlas untuk agama. Masanya sudah sampai," katanya lagi.