'Ibarat kaca jatuh berkecai' - Serina menangis dapat tahu Chef Wan hidap kanser

Gempak
Ogos 5, 2023 12:51 MYT
Serina bangga melihat bapanya kerana mempunyai semangat yang kuat apabila reda atas ujian penyakit yang diterima. -Gempak
PELAKON Serina Redzuawan, 40, akui amat sedih apabila mendapat tahu bapanya yang juga cef selebriti popular, Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan, 66, disahkan menghidap kanser limfoma.
Namun, Serina yakin ujian berat itu diberikan kepada orang yang terpilih seperti bapanya yang suka membantu ramai orang.
"Semalam, hati saya ibarat kaca jatuh berkecai ke lantai bila dengar pesanan papa memberitahu ada kanser limfoma.
"Memang sedih, saya tak dapat tahan air mata dan menangis sepuasnya.
"Allah maha baik dan pilih papa. Sebab papa adalah insan berhati mulia, selalu bantu dan ceriakan hidup orang. Papa selalu bantu ahli keluarga dan adik-beradik.
"Syukur, Alhamdulillah," tulisnya.
Serina berkongsi perkara berkenaan di akaun Instagram miliknya.
Menerusi entri berkenaan dia memuat naik fotonya bersama bapa yang sedang terlantar di hospital.
Pun begitu Serina bangga melihat bapanya kerana mempunyai semangat yang kuat apabila reda atas ujian penyakit yang diterima.
"Papa reda dan tenang terima ketentuan ini. Saya bangga dengan papa!
"Insya-Allah sakit tanda Allah sayang, cuci dosa dan menaikkan darjat sebagai manusia.
"Ingat papa, kami semua ada, Rina, Aidid, Tristan, Isabella, Riz, adik-beradik, sahabat dan peminat semua sayangkan papa.
"Kami akan doakan papa kembali sihat. Terus kuat," katanya.
Serina juga berharap orang ramai turut mendoakan kesembuhan buat bapanya dan kekuatan untuknya melawan kesakitan.
Cef Wan pada Khamis mengesahkan dia menghidap kanser limfoma menerusi satu hantaran di Instagram.
Menurutnya, doktor juga akan memulakan kemoterapi yang mungkin mengambil masa selama 13 minggu. -Gempak
#Chef Wan #Serina Redzuawan #cef selebriti popular #kanser limfoma
;