'I love being viral' - Ning Baizura tak endah kecaman
Astro Awani
Julai 29, 2022 19:59 MYT
Julai 29, 2022 19:59 MYT
PENYANYI terkenal Ning Baizura tidak berkecil hati dengan kecaman yang diterima netizen susulan video tular di aplikasi TikTok dan Twitter membabitkan persembahannya menyanyikan lagu Awan Yang Terpilu di sebuah pusat persembahan, baru-baru ini.
Sebaliknya, menerusi beberapa muat naik di Instagram, penyanyi itu tetap memperlihatkan sikap positif dan enggan melayan kritikan yang dibuat secara melulu.
"Terima kasih kerana menularkan persembahan saya, sekarang saya ada 333,000 pengikut di Instagram.
"I love being viral," kata penyanyi berusia 47 tahun itu dalam nada sinis di Instagram Stories.
Menerusi video yang ditularkan itu, Ning yang membuat persembahan di sebuah pusat hiburan di Bangsar, dipaparkan seolah-olah tidak mampu menyanyikan lagu itu dengan baik hingga kedengaran sumbang.
Dalam kenyataan kepada portal Harian Metro semalam, Ning memaklumkan dia membuat persembahan selama empat hari berturut-turut di lokasi berkenaan dengan menyampaikan 20 buah lagu, malah nilai sentimental lagu berkenaan turut menjadi faktor mengapa dia beremosi semasa menyampaikannya.
"Jadi, saya berasakan mereka yang tularkan video itu adalah tidak munasabah. Tindakan itu lebih kepada nak mencari kelemahan dan cuba nak menjatuhkan saya. Lagi pula, mereka tidak ada di tempat kejadian, jadi tidak tahu apa yang berlaku," katanya seperti yang dipetik portal tersebut.