Hutang: Farah Lee bersuara, dakwa hanya khabar angin, bakal ambil tindakan undang-undang

Gempak
Januari 4, 2024 09:30 MYT
FARAH: Saya sudah berbincang dengan peguam dan kami bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap semua individu atau pihak yang terlibat dalam penyebaran fitnah. - Foto GEMPAK
PERNAH viral akibat didakwa tidak melangsaikan hutang arwah bapanya, aktivis sosial Farah Lee akhirnya membuat kenyataan menyangkal segala pertuduhan seorang individu berkaitan isu terbabit.
Menurut Farah menerusi muat naik terbaharunya di Facebook, dia mengakui mendapat tuntutan oleh seorang individu di Platform X yang mendakwa allahyarham bapanya berhutang sebanyak RM130,000.
Namun, Farah atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli mendedahkan tiada sebarang bukti bertulis yang berjaya dikemukakan oleh pihak berkenaan.
“Kami akui menerima tuntutan hutang daripada pihak berkait pada tahun 2017. Bagaimanapun, memandangkan jumlah yang dituntut adalah sangat tinggi, wajar bagi kami mendapatkan bukti berkenaan tuntutan tersebut.
“Namun, sehingga sekarang tiada sebarang kenyataan bertulis ataupun bukti serta tiada saksi yang diwakilkan melainkan hanya khabar angin semata-mata,” tulisnya.
Dalam pada itu, Farah juga memberitahu dia akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam penyebaran fitnah tersebut.
“Saya sudah berbincang dengan peguam dan kami bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap semua individu atau pihak yang terlibat dalam penyebaran fitnah serta meminta pampasan untuk kerosakan reputasi dan imej serta gangguan yang diterima oleh saya sebagai figura awam.
“Saya di sini meminta semua pengguna Twitter, Facebook dan Instagram termasuk semua landasan media untuk memadam segala kenyataan bersifat fitnah yang dibuat, ditambah, disebarkan serta ditujukan kepada saya secara langsung dengan kadar segera dalam tempoh 24 jam daripada kenyataan ini dibuat.
“Saya juga menuntut semua pihak terlibat untuk memohon maaf kepada saya secara terus dan terbuka. Kegagalan berbuat demikian, peguam saya tidak teragak-agak untuk memulakan tindakan saman fitnah di mahkamah,” tambahnya lagi.
Sekadar info, seorang individu sebelum ini mendakwa Farah dan keluarganya gagal membayar hutang arwah bapa mereka yang dikatakan dibuat pada awal tahun 2000.
Sumber: Facebook
#hutang #saman #Farah Lee #hutang arwah bapa
;