'Hukum' anak mengikut syariat agama, Nora Ariffin maafkan semua orang
Astro Awani
September 5, 2020 16:18 MYT
September 5, 2020 16:18 MYT
Penyanyi terkenal tanah air, Nora Ariffin yang baru-baru ini diuji dengan tindakan anak gadisnya terpalit dalam rakaman video bercumbu dengan teman lelakinya berkata, sudah ‘menghukum’ anaknya mengikut syariat agama.
Tegas penghibur itu, biarlah kesilapan yang dilakukan anak ketiganya ditebus dengan bertaubat dan memohon keampunan daripada Yang Maha Esa.
Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin berkata, dia juga sudah mendengar pengakuan daripada anak serta remaja lelaki dalam video yang tular itu.
“Assalamualaikum. Saya sudah mendengar semua pengakuan Saya juga sudah memaafkan semua orang.
“Saya juga sudah menghukum anak saya mengikut hukum agama . Biarlah dia bertaubat dan meminta ampun pada kepada Allah SWT,” kata Nora dalam hantaran di Instagram sebentar tadi.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu menyerahkan segala-galanya kepada Allah dan mendoakan apa yang terjadi akan memberi pengajaran dan iktibar buat semua.
Baru-baru ini, tular di media sosial video sepasang remaja sedang bercumbuan yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan netizen.
Ekoran itu, netizen bukan sahaja mula mengecam remaja berkenaan, bahkan penyanyi terkenal itu juga tidak terlepas daripada menjadi kecaman.
Nora pula secara terbuka mengakui, remaja perempuan yang dikaitkan dalam video itu adalah anaknya.
Penghibur berusia 47 tahun itu juga mengambil sikap bertanggungjawab mengakui, remaja itu adalah anak perempuannya.
“Allahuakbar. Dengan penuh rasa terkilan... saya mengaku itu anak saya. Sebagai seorang ibu, kita telah mencuba melakukan yang terbaik untuk mengajar, membimbing dan mendidik, memberikan apa yang terbaik dalam kapasiti yang terbatas.
“Namun, sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.. dia masih muda… dan dia perlu belajar banyak perkara dan kehidupan yang harus dilalui,” kata Nora
Sementara itu, remaja lelaki berkenaan yang wajahnya tertera dalam adegan bercumbu dengan anak Nora itu tampil memohon maaf kepada penyanyi berkenaan atas kesilapannya.
Remaja berkenaan mengaku melakukan kesilapan dan bertanggungjawab terhadap penularan video itu.
"Saya ingin memohon maaf terutamanya kepada seluruh ahli keluarga Nora dan keluarga saya sendiri.
"Saya juga bertanggungjawab atas apa yang berlaku kepada anak Nora untuk dijadikan viral.
"Saya juga amat menyesali atas apa yang telah saya lakukan," kata remaja itu lagi.