Hugh Jackman, isteri umum berpisah
Agensi
September 16, 2023 11:35 MYT
September 16, 2023 11:35 MYT
PELAKON popular Hollywood, Hugh Jackman dan isterinya, Deborra-Lee Furness mengumumkan perpisahan mereka selepas 27 tahun mendirikan rumah tangga.
Menurut laporan media antarabangsa, dalam satu kenyataan pada Jumaat, mereka memaklumkan bahawa keputusan tersebut dicapai dengan persetujuan bersama.
“Kami telah berkongsi hidup bersama hampir tiga dekad sebagai suami isteri dalam sebuah perkahwinan yang indah dan penuh kasih sayang.
“Perjalanan hidup kami ketika ini sedang melalui perubahan dan kami telah memutuskan untuk berpisah bagi meneruskan takdir masing-masing.
“Keluarga akan sentiasa menjadi keutamaan kami dan kami akan menjalani peringkat seterusnya ini dengan rasa syukur, kasih sayang dan kebaikan.
"Kami amat menghargai pemahaman anda dalam menghormati privasi kami ketika keluarga kami melalui peralihan ini,” kata mereka.
Jackman dan Furness mendirikan rumah tangga pada 1996 dan dikurniakan dua cahaya mata, Oscar, 23 tahun, dan Ava, 18 tahun.
Kenyataan mereka itu ditandatangani dengan “Deb dan Hugh Jackman,” dan diakhiri dengan, “Ini satu-satunya kenyataan yang kami akan keluarkan.”