"Hilang penat bila tengok skrol" - Vanidah Imran kini bergelar graduan Sarjana Seni Persembahan

Astro Awani
Mac 13, 2022 18:34 MYT
Kegembiraan terpancar pada wajah Vanidah Imran selepas berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Seni Persembahan (Drama) dari Universiti Malaya.
KUALA LUMPUR: Selepas puas menangis, mengeluh dan pernah membuat pertimbangan untuk menarik diri, akhirnya Vanidah Imran berjaya juga mengenggam Ijazah Sarjana Seni Persembahan (Drama) dari Universiti Malaya (UM).
Melihat sijil akademik itu yang kini kemas dalam genggamannya, hilang segala rasa gundah-gulana itu, kata pelakon tersohor tanah air itu.
“Hanya Allah sahaja tahu betapa saya pernah melalui fasa yang sangat sulit. Menangis jangan ceritalah. Bila sudah melalui proses pembelajaran itu, baru saya sedar bukan mudah untuk memperoleh kejayaan.
“Semuanya harus bertitik tolak pada kesabaran dan kesungguhan. Saya bersyukur kerana dapat melalui fasa itu sekalipun saya terpaksa mengambil masa selama empat tahun untuk menyelesaikan program sarjana ini,” kata pelakon Perempuan Melayu Terakhir dan The Red Kebaya itu kepada Astro AWANI.
Berusia 49 tahun, Vanidah menerima ijazah sarjana berkenaan pada Istiadat Konvokesyen Ke-61 Universiti Malaya semalam.
Sebagai anak seni yang sudah berjaya dalam disiplinnya, dorongan Vanidah menyambung pengajian adalah disebabkan keinginan untuk menambah ilmu dalam diri.
Selain itu, sokongan teman-teman seperjuangan antararanya Profesor Aminah Rapor juga menggerakkan hatinya memilih menyambung pengajian dalam bidang yang dekat dengan jiwanya.
“Saya berbangga dengan kejayaan ini, walapun saya terpaksa ambil masa empat tahun kerana sepanjang tempoh itu, saya harus beri tumpuan pada anak sulung saya yang sedang menghadapi peperikaan Sijil Pelajaran Malaysia.
“Saya harus pastikan anak saya selesaikan peperiksaan penting untuk masa depannya. Sebaik selesai urusan itu, baru saya kembali menyambung pengajian,” kata Vanidah berkongsi alasan kenapa dia mengambil masa selama empat tahun untuk menyelesaikan kuliah.
Sepanjang empat tahun itu juga, selain menghadiri kuliah, Vanidah juga menyiapkan kajian ilmiah (thesis) kajian karakter dalam filem sebagai memenuhi tuntutan pengajian.
Sebelum ini, Vanidah merupakan pemegang Ijazah Pengajian Inggeris dari Open University Malaysia.
Bercerita mengenai nikmat menamatkan pengajian, kata Vanidah, apa yang utama baginya ialah keinginan untuk menambah ilmu sudah tercapai.
Dalam masa sama, kejayaan itu juga mahu didedikasikan kepada dua cahaya matanya, Mikail Aimran, 21, dan Maryam Rashika, 18.
Kejayaan itu juga, jelasnya, khusus sebagai menyatakan kecintaan dan kasih sayang tidak berbelah baginya pada ayahnya, Imran Abdullah @ Indiran Koothayan.
Kata Vanidah, ayahnya memainkan peranan yang sangat besar dalam hidupnya yang sentiasa memberi contoh yang baik dalam perihal mengurus kejayaan diri.
“Ayah saya menyambung pengajian dalam bidang sarjana ketika arwah mak sakit dan disahkan mengidap kanser. Saya hanya berusia 3 tahun dan adik saya pula 10 bulan ketika mak kami meninggal dunia.
“Disebabkan perlu memberi tumpuan pada kerja dan keluarga, ayah tidak dapat menyelesaikan pengajiannya.
“Dek kerana itu juga, saya berikrar untuk selesaikan ijazah sarjana sebagai dedikasi buat ayah yang juga mentor saya,” cerita Vanidah mengenai jasa dan pengorbanan besar ayahnya itu.
Dan kini, Vanidah sudah mula berfikir untuk menyambung pengajian ke peringkat dokfor falsafah.
“Saya sekadar bercita-cita. Kalau ada rezeki, saya tidak tolak peluang untuk sambung belajar lagi. Doakan saya diberi kekuatan itu,” katanya lagi.
#vanidah imran #Ijazah Sarjana Seni Persembahan #pelakon #universiti malaya
;