Hijjaz terjemah lagu semangat pemuda Hamas
Syafique Shuib
Julai 15, 2014 15:40 MYT
Julai 15, 2014 15:40 MYT
Video klip kumpulan nasyid popular Hijjaz berjudul ‘Al-Qassam’ kian mendapat perhatian, khususnya di kaca televisyen Gaza.
Video klip baharu itu dilancarkan ketika Gaza kini berhadapan dengan serangan udara Israel, di mana angka kematian telah mencecah 186.
Lagu asal adalah lagu tema Briged al-Qassam yang menjadi nadi utama pertahanan di Gaza. Lagu berkenaan diterjemah oleh kumpulan Hijjaz sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia untuk Gaza.
Video klip yang berdurasi 5 minit 34 saat menampilkan aksi-aksi kumpulan Al-Qassam dan perjuangan mereka untuk mempertahankan Palestin.
"Ia menceritakan tentang tentera Al-Qassam dan bagaimana mereka mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan juga Baitul Maqdis. Al-Quran menjadi perlembagaan mereka dan sebagai pahlawan Al-Qassam mereka harus menghafal Al-Quran. Secara amnya, ia tentang kekuatan tentera Al-Qassam," kata seorang anggota Hijjaz Ariffin Rahim kepada Astro AWANI.
Lagu berkenaan dimuatkan dalam album ‘Keranamu Baitul Maqdis’ di mana hasil jualan disalurkan kepada Tabung Gaza Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
"Kita lancarkan album ini tahun lepas di mana kita berjaya membeli dua atau tiga van ambulans di Syria. Dan apabila kita lihat situasi di Gaza ketika ini, kita melancarkan klip video terbaru ini untuk menggalakkan orang ramai untuk membeli album ini dan semua kutipan akan disalurkan kepada Gaza.
"Kami pernah pergi ke Gaza bersama MAPIM. Kami sudah lihat situasi di sana dan kami ingin tahu apa yang boleh kami sumbangkan. Jadi kami menerbitkan album ini di mana orang ramai boleh mendapatkan album dan turut menyumbang kepada mereka di Gaza," katanya.
Ditanya jika klip video berkenaan untuk menggalakkan umat Islam di Malaysia untuk menjadi pejuang Al-Qassam, Ariffin berkata ia lebih kepada menggalakkan orang ramai untuk berjuang dengan apa yang mereka mampu.
"Kami mahu pendengar atau yang menonton video klip untuk mengambil roh (Al-Qassam) untuk berjuang. Sebagai umat Islam, kita semua bertanggungjawab untuk mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan Baitul Maqdis.
"Mungkin kita boleh membantu dengan mengorbankan harta benda kita dengan sedekah. Kedua, kita boleh korbankan diri kita dan masa kita dengan menjadi sukarelawan di sana. Soal kemenangan, kita serahkan kepada Allah tetapi apa yang penting adalah usaha kita dan kita membantu dengan ikhlas," akhiri Ariffin.
Sementara itu, menurut Facebook Page rasmi kumpulan Hijjaz, lagu berkenaan mendapat reaksi positif di Gaza.
“Alhamdulillah mendapat reaksi luar biasa dari media Arab serta Gaza apabila video klip terbaru Hijjaz dimuat turun serta ditayangkan berulang kali dikaca TV Gaza.
“Kenalan Hijjaz di Gaza khususnya terkedu apabila mendengar lagu Al-Qassam ini dinyanyikan dalam bahasa Melayu. Solidariti rakyat Malaysia untuk Gaza,” tulis Hijjaz di Facebook.
Lagu berkenaan turut mendapat reaksi positif dari pengguna Twitter: