'Hidup ibarat maraton!' - Selepas cipta sejarah melalui Ola Bola, kini On Your Mark janjikan magis

Hasimi Muhamad
September 10, 2021 23:37 MYT
Keng Guan pernah menggegarkan industri perfileman negara dengan beberapa karya hebatnya termasuk OlaBola pada 2016 - Gambar Astro Shaw
HIDUP ibarat maraton…
Demikian digambarkan oleh pengarah filem tersohor negara, Chiu Keng Guan mengenai idea pembikinan buah tangan terbaharunya, On Your Mark.
Mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan skrip, percaturan Keng Guan membuahkan hasil selepas filem ini menamatkan tayangan di China dengan kutipan sebanyak RM96 juta.
Ini sentuhan magis daripada pengarah sama yang menghasilkan karya masterpiece OlaBola dan The Journey.
On Your Mark | Lakar sejarah di China, kini temui penonton Malaysia
Mula menceburi dunia perfileman pada 2010, anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini terkenal dengan filem blockbuster yang menyentuh tema persahabatan, keluarga dan patriotisme.
Pelbagai kejayaan telah ditempa sejak penghasilan filem pertamanya, WooHoo! pada 2010.
Dan kini menerusi On Your Mark, Keng Guan sekali lagi memberikan sentuhan luar biasa.
Berkongsi pengalaman pembikinan filem tersebut kepada Astro AWANI, sutradara ini berkata, tema yang diangkat disifatkan begitu dekat dengan realiti masyarakat.
"Cerita itu sendiri memfokuskan kepada gambaran kehidupan masyarakat di Chongqing, China. Ia diinspirasikan daripada kisah benar.
"Tetapi penekanan utama dalam filem On Your Mark adalah hubungan ayah dan anak. Selain itu, elemen lain seperti persahabatan, dan semangat tidak mudah berputus asa yang ditunjukkan dalam filem adalah dekat dengan realiti, yang mana ia boleh menghubungkan dengan semua orang," katanya.
On Your Mark mengisahkan tentang seorang anak muda, Xiao Erdong bercita-cita untuk menjadi pelari maraton seperti ibunya.
Namun, cita-cita itu dihalang oleh bapanya, Xiao Daming, kerana tidak mahu melihat anaknya kecewa mengenangkan Xio Erdong kemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.
Pemenang anugerah Pengarah Terbaik melalui filem Great Day di Golden Wau Awards 2013 itu menambah: "Dalam keluarga oriental, bapa seringkali dilihat sebagai yang kedua (kasih sayang ayah dilupakan) berbanding ibu yang membesarkan anak. Kisah ini mengingatkan kita tentang (kasih sayang) seorang ayah yang berkait dengan kita semua."
Pengarah prolifik ini turut mengetengahkan sukan maraton, yang merupakan antara salah satu sukan popular di China.
"Sebenarnya, hidup adalah seperti maraton. Ada jatuh dan bangun… kadangkala anda rasa seperti mahu berputus asa. Keluarga dan kawan-kawan bersorak sepanjang perjalanan, jadi kita mempunyai semangat untuk menamatkan larian," ceritanya ketika ditanya mengenai garapan idea filem tersebut.
Berkarya di Negara Tembok Besar adalah pengalaman baharu buat Keng Guang.
Beliau mengakui antara cabaran sepanjang menghasilkan filem On Your Mark antaranya, menguasai dialek tempatan dan memahami budaya sukan maraton.
"Kami melakukan beberapa kajian dan temu bual bagi mendapatkan gambaran sebenar dan budaya masyarakat di Chongqing.
"Saya juga tinggal di Chongqing untuk menyelami kehidupan orang di sana bagi memastikan saya menyampaikan kisah tentang mereka dengan tepat.
"Selain itu, persekitaran kerja baharu, dan kru juga cabaran besar buat saya. Ia mengambil masa untuk membina kepercayaan dan keserasian dalam kalangan pasukan. Tetapi saya gembira kerana ia berjalan lancar, pada akhirnya," ujarnya.
Keng Guan turut menyifatkan pemilihan pelakon untuk memegang sesuatu watak merupakan kriteria penting bagi kejayaan sesebuah filem.
Bagi On Your Mark atau tajuk asalnya The Great Dad atau Liao Bu Qi de Lao Ba, beliau mengambil masa sebulan untuk memilih pelakon bagi memastikan setiap watak itu digerakkan dengan baik oleh para pelakon.
"Selebihnya, kami biarkan para pelakon untuk meneroka kehidupan watak tersebut seperti belajar dialek Chongqing, pengalaman memandu teksi serta latihan maraton.
"Saya hanya mahu memastikan mereka hidupkan watak dan mempersembahkan yang terbaik dalam filem. Itu sangat penting," katanya lagi.
Mengenai perancangan masa depan, Keng Guan yang digelar sebagai ‘The King of Malaysian Movies’ tidak hanya mahu memfokuskan pasaran China, sebaliknya terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pengarah dan pelakon di seluruh dunia.
Dalam masa yang sama, beliau turut meluahkan rasa teruja filem On Your Mark telah menemui penonton Malaysia sejak 26 Ogos lalu, dengan Astro Shaw bertanggungjawab sebagai pengedar untuk Malaysia dan Singapura.
On Your Mark dibintangi pelakon hebat China seperti Wang Yanhui, Zhang Youhao, Gong Beibi serta penampilan istimewa pelakon filem The Last Tycoon, Feng Wenjuan.
Jangan lepaskan peluang menonton filem On Your Mark di pawagan rumah anda, Astro First!. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.
* Temu bual bersama Chiu Keng Guan akan turut disiarkan dalam AWANI 745 malam ini.
#On Your Mark #Pengarah filem Malaysia lakar sejarah #OlaBola #Chiu Keng Guan #industri hiburan #Sukan maraton #pasaran China
;