Hidup dalam penjara bukan macam yang diduga - Aidil Aziz
Gempak
Mei 26, 2017 22:00 MYT
Mei 26, 2017 22:00 MYT
"DUA bulan saya di Penjara Sungai Buloh, hanya Allah sahaja yang tahu isi hati saya. Menangis pun sampai tak keluar air mata," itu secebis perkongsian dari hati pelakon Aidil Aziz.
Selepas tujuh bulan dibebaskan setelah ditahan kerana disyaki terbabit dengan pertuduhan mengedar dadah pada September lalu, Aidil, 29, mahu memulakan hidup baharu.
"Apa yang terjadi ini mungkin hikmah atas khilaf yang salah lakukan sebelum ini.
"Macam-macam perkara yang saya pelajari, saya lebih menghargai keluar dan mendekatkan diri kepada Allah.
"Saya tahu mana intan mana permata, mana kaca dan mana duri. Untuk menjadi lebih matang saya perlu berhati-hati memilih kawan," katanya eksklusif kepada Astro Gempak.
Jelas Aidil, kehidupannya di dalam penjara selama dua bulan sejak ditahan pada September lalu benar-benar mengubah perspektif pemikirannya.
Dia belajar banyak perkara tentang keinsafan dan kemaafan.
"Berkali-kali menangis tetapi saya tidak bertemu jawapan. Saya menangis sebab rindukan keluarga dan saya menangis sebab saya tak tahu apa silap saya. Saya rasa teraniaya!
"Sampailah tiba-tiba saya dipertemukan dengan seorang hamba Allah yang datang tanpa saya tanya.
"Dia minta saya bertenang. Katanya nak jaga hati semua orang memang tidak mampu jadi kau jaga Allah dan jaga keluarga.
"Jika pandang dari luar memang itu tempat yang kita tidak sanggup masuk tetapi di situlah pintu muhasabah diri terbuka luas," katanya yang ditempatkan dalam sebuah dorm yang dihuni lebih 30 pesalah lain.
Tambah Aidil, tidak pernah sekali pun dia dianiaya sepanjang ditahan di dalam penjara.
Aidil kini disahkan bebas daripada pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat hampir 456 gram September lalu menerusi keputusan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu minggu lalu.
Dalam perkembangan lain, Aidil bakal ke set penggambaran sebuah drama bersiri 40 episod dan giat mempromosikan bisnes jeruk mangga asam boi, King Mangifera.