Hidap jangkitan paru-paru, Radin ERA tidak dibenarkan berpuasa
Gempak
Mei 10, 2019 14:00 MYT
Mei 10, 2019 14:00 MYT
PENYAMPAI radio ERA dan pengacara, Radin yang sedang dirawat di hospital mendedahkan pada mulanya, doktor memberitahu dia hanya terkena demam viral.
Namun, selepas tiga kali membuat pemeriksaan, akhirnya doktor dapat mengesan dirinya menghidap jangkitan di paru-paru.
"Sebenarnya, saya sudah pergi berjumpa dengan tiga orang doktor untuk membuat pemeriksaan.
"Pada awalnya, mereka tidak dapat mengesan saya mengalami jangkitan paru-paru.
"Mereka memberitahu saya hanya 'viral fever' sahaja.
"Akhir sekali, saya melakukan pemeriksaan di KPJ Damansara Specialist Hospital, barulah doktor dapat mengesan sakit sebenar.
"Saya ditahan di hospital satu malam, kemudiannya ibu saya meminta untuk dipindahkan ke Ipoh," katanya ketika dihubungi Gempak.
Tambah pemilik nama Radin Amir Effendi ini, dia juga tidak dibenarkan untuk berpuasa.
"Saya ingin berpuasa namun doktor tidak membenarkannya.
"Keadaan badan saya masih lemah. Sehingga hari ini, sudah memasuki hari yang keenam saya ditahan di hospital," katanya lagi.