Henti persepsi negatif tentang Malaysia - Penganjur konsert Coldplay

Faida Rahim
Julai 13, 2023 20:01 MYT
Para berkata, beberapa laporan yang memberitahu bahawa artis papan atas antarabangsa tidak berminat masuk ke negara ini adalah tidak tepat. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kenyataan dalam beberapa laporan yang memaklumkan artis papan atas antarabangsa tidak berminat untuk masuk ke nagara ini bagi menjayakan konsert adalah tidak tepat, menurut Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Para Rajagopal.
Beliau yang pernah menganjurkan 25 persembahan artis papan atas antarabangsa mengharapkan pihak media memainkan peranan utama dalam menyampaikan laporan.
Langkah itu penting bagi mengelakkan kebimbangan artis luar untuk datang membuat persembahan di negara ini.
"The media is playing the wrong thing about Malaysia. Malaysia kelihatan ektsrem di mata dunia disebabkan Pas selalu memboikot. Memang betul, tetapi semua media tulis benda yang sama 15 kali dan terus berulang.
"Malah kita juga seolah-olah menyampaikan mesej bahawa Malaysia tidak menyokong atau mengalukan kedatangan mereka ke sini. Harus ingat, pihak media memainkan peranan penting. Kita perlu
melaporkan kebenaran dan potensi Malaysia untuk ke depan.
"Nak salahkan kerajaan sahaja tidak boleh kerana di Singapura, bukan kerajaan SIngapura yang keluarkan duit buat enam show. Itu tugas promoter yang mengeluarkan kos untuk sesebuah konsert," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Sebelum ini, Live Nation Malaysia pernah membawa masuk ramai artis terkenal antarabangsa antaranya Bruno Mars, Charlie Puth, Ed Sheeran, Selena Gomez, Shawn Mendes, Blackpink dan ramai lagi.
Dalam pada itu, Para memohon agar segala pemberitaan negatif dihentikan dan sebarkan laporan positif mengenai kelebihan Malaysia yang akan menarik lebih ramai artis papan atas antarabangsa datang membuat persembahan di negara ini.
Tambah beliau, permohonan maaf yang dibuat vokalis Coldplay, Chris Martin sebelum ini dalam sebuah temu bual di stesen radio milik Astro selepas konsert mereka mendapat bantahan daripada segelintir pihak tidak sepatutnya berlaku.
Ini kerana situasi ini menggambarkan seolah rakyat Malaysia tidak gembira dengan kedatangan mereka ke sini.
"Berita ini sampai dekat mereka (pihak pengurusan Coldplay). Sebab pihak mereka juga mengikuti perkembangan kita di sini. Maybe they feel okaylah we're pushing to do one more show there, maybe as a person, mereka fikir 'oh orang tak suka saya datang sini'.
"Kita juga tidak tahu apa yang bermain dalam fikiran mereka. Dalam perancangan, kami tidak merancang untuk menambah hari kerana kami faham jadual mereka yang padat.
"Ramai yang tidak terlibat mereka buat spekulasi pasal politik lah, pasal itulah, inilah... Bagi saya, yang mereka terlibat dalam penganjuran konsert ini, saya tahu, tapi saya tak nak komen lebih-lebih.
"Sebab kita cakap macam ini pun, orang lain ada persepsi pasal penganjuran atau kerajaan. Semua ada pendapat masing-masing," ujarnya.
#BLACKPINK #Live Nation Malaysia #Para Rajagopal #Konsert Coldplay Kuala Lumpur
;