'Hearts of Harris', konsert penghibur dari India pertama di Malaysia untuk 2023
Bernama
Januari 19, 2023 15:23 MYT
Januari 19, 2023 15:23 MYT
KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 penonton bakal menyaksikan konsert India pertama di negara ini bagi 2023 berjudul 'Hearts of Harris Live in Kuala Lumpur' Sabtu ini.
Konsert itu menjadi pembuka tirai bagi konsert India yang dijadual berlangsung tahun ini di Malaysia.
Komposer muzik India dari Chennai, Tamil Nadu, Harris Jayaraj akan membuat persembahan pertamanya di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula 7 malam. Pemuzik berusia 48 tahun itu mendapat pengiktirafan dunia pertamanya sebagai komposer muzik di Malaysia menerusi album sulungnya 'Minnale' pada 2001.Harris akan membawakan 39 lagu yang terdiri daripada melodi menggamit emosi, hits tarian dan lagu instrumental menerusi konsert pertamanya di sini.
"Seramai 14 penyanyi iringan dan 16 pemuzik India akan turut serta menjayakan malam ajaib ini. Setiap lagu akan dihayati penuh emosi dan momen itu pasti dihargai semua," katanya pada sidang media sempena konsert itu pada Rabu.
Pemuzik itu juga berkata artis Malaysia mempunyai tempat yang istimewa di hatinya, sambil menambah bahawa dia pernah berkolaborasi dengan artis Malaysia melalui albumnya 'Dhaam Dhoom' dan 'Iru Mugan'.
Harris juga merupakan penggubah lagu bagi kebanyakan filem Tamil dan memulakan kerjaya dalam industri muzik sebagai pemain gitar sebelum mengembangkan minat bermain alat muzik lain seperti keyboard dan synthesisers.
Sementara itu, pengasas dan ketua pegawai eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer selaku penganjur konsert itu berkata empat artis tempatan akan membuat persembahan di pentas yang sama dengan Harris, dengan konsert serupa akan diadakan di Chennai dan London pada masa akan datang.
-- BERNAMA