Hattan simpati dengan Ning Baizura
Gempak
Julai 30, 2022 11:50 MYT
Julai 30, 2022 11:50 MYT
“AKU simpati dengan dia..”
Itulah luahan penyanyi legenda, Datuk Hattan apabila diminta mengulas mengenai mutu persembahan rakan seperjuangannya, Ning Baizura menerusi sebuah klip nyanyian lagu hit Awan Yang Terpilu yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 57, dia tidak menyalahkan Ning malah mengakui penyanyi yang bergelar aktres itu seorang penyanyi yang sangat bagus.
“Kadang-kadang, mereka pun tak mahu jadi macam tu. Aku tengok video Ning tu, bila kita capai satu tahap umur, dia lost dia punya head voice itu.
“Tapi aku tak salahkan dia juga. Mungkin dah terlampau letih sebab yang aku baca, dia dah nyanyi 20 lagu pada 4 malam.
“Jadi kita tak boleh nak expect apa. Maafkan dia la pasal dia dah beranak, orang beranak lagi problem,” ujarnya kepada Gempak.
Hattan ditemui pada majlis malam gala filem lakonannya, Gadis Jolobu yang bertempat di panggung GSC The Starling, Petaling Jaya pada Jumaat.
Jelas pelantun lagu Biso Bonar itu lagi, dia tidak suka melihat warga maya bertindak menghakimi nyanyian Ning dan seterusnya membulinya di ruangan siber.
“Aku tak suka tengok orang bantai dia, buli dia, kau ingat dia nak buat nyanyi macam itu ke? Tak kot. Tapi cuma satu la, dia kena pergi jumpa Siti Khairani balik, dapatkan balik dia punya tu (kekuatan vokal). She is a good singer,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hattan mengakui emosi seseorang penyanyi yang bersedih dan menangis sewaktu membuat persembahan juga boleh menentukan kualiti persembahan.
Jelas Hattan lagi, selaku penyanyi, dia sendiri pernah berdepan situsi di mana tidak dapat menghabiskan nyanyiannya akibat perasaan sebak.
“Aku masa launching lagu 5 Oktober, kan aku sangkut, aku teringat anak Bob meninggal, aku teringat aku angkat jenazah dia tu, separuh daripada lagu tu aku tak menyanyi.
“Benda itu memang boleh mempengaruhi, dia dapat balik head voice dia sebenarnya bila hujung tu. Dia dah dapat head voice itu tapi nampak dia hilang fokus yang tengah tu. Tapi dia dah buat yang terbaik, jangan salahkan dia,” katanya lagi.
Sekitar awal minggu ini, klip nyanyian Ning di sebuah persembahan kelab mencuri perhatian ramai berikutan dia didakwa gagal membawakan lagu sendiri.
Menurut Ning, tindakan menyebarkan video tersebut disifatkan sengaja mahu menjatuhkan reputasinya memperlihatkan dia seolah-olah tidak mampu menyanyi lagu itu dengan baik hingga kedengaran sumbang dan tak sampai.
Artikel asal disiarkan di Gempak.