Hasilkan drama bersiri 60 episod satu cabaran - Rosyam Nor

Madiha Abdullah
November 22, 2018 09:11 MYT
Barisan pelakon Selafaz Cinta yang bakal bersiaran di Astro Prima dan Maya HD, bermula 27 November ini.
Di Malaysia, drama bersiri kebiasaannya hanya dibuat sekitar 30 episod dan ke bawah sahaja.
Ini mungkin didorong faktor kesukaran menarik perhatian penonton untuk terus mengikuti setiap episod sehingga ke akhir.
Hal ini diakui Datuk Rosyam Nor yang memaklumkan penghasilan sebuah drama bersiri sedemikian merupakan satu cabaran bukan sahaja di pihak pengarah dan penulis skrip, tetapi juga beliau sebagai penerbit.
"Kerana itu, saya sangat menekankan jalan cerita yang baik, selain karakter yang kuat kerana faktor ini adalah penguat kepada sesebuah drama.
"Setiap kali menghasilkan drama, saya suka apabila plotnya menceritakan isu sebenar yang wujud di alam realiti kerana connection itu akan membuatkan penonton rasa tertarik untuk mengetahui kesudahannya," kata Rosyam.
Selain itu, faktor pemilihan pelakon juga dititikberatkan kerana ia kata Rosyam, membantu dari segi promosi dan rating.
"Sudah tentu yang paling utama adalah bakat. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga melihat faktor pengaruh mereka di media sosial," tambahnya.
Rosyam ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri 60 episod terbitan Suhan Movies, Selafaz Cinta, di TGV Bandar Utama, pada Rabu.
Drama tersebut bakal bersiaran di slot Tiara di Astro Prima dan Maya HD, bermula 27 November ini, jam 6 petang.
Ia dibintangi Saharul Ridzwan, Syatilla Melvin, Puteri Aishah, Aqasha, Luqman Hafidz, Fezrul Khan, Riz Amin dan ramai lagi.
#drama #drama bersiri #Rosyam Nor #Selafaz Cinta #Suhan Movies
;