Hasil kolaborasi negara seberang, Elfira Loy buat jualan tudung sambil beramal bagi mangsa COVID-19
Najmi Syahiran Mamat
April 27, 2020 15:10 MYT
April 27, 2020 15:10 MYT
Kehadiran Muhammad Rayyan Khalaf dalam hidupnya, bukan sekadar penyeri rumah tangga pelakon Elfira Loy dan suaminya, Faris Khairol Anuar.
Bahkan, permata hati Elfira itu turut menghadirkan pelbagai nikmat dan rezeki yang disifatkannya terlalu berharga buat rumah tangganya.
Terbaharu, Elfira menganggap kehadiran Muhammad Rayyan juga sebagai pembuka rezeki apabila berpeluang disunting bekerjasama dengan jenama tudung popular, berpangkalan di negara jiran, Indonesia.
Elfira diberi kepercayaan sebagai duta atau menjalinkan kerjasama dengan produk jenama tudung, Buttonscarves.
Namun, menurutnya, kegembiraan itu tidak terhenti setakat itu sahaja kerana Elfira malah tersentuh dengan pihak Buttonscarves yang datang dengan inisiatif untuk menghulurkan sumbangan kepada mangsa wabak COVID-19.
“Apabila pihak mereka membuat keputusan itu saya melihat ia satu langkah baik dan sangat bertepatan dengan situasi semasa.
“Saya percaya setiap daripada kita boleh memainkan peranan dan menyumbang dengan pelbagai cara.
“Pada mulanya saya dapat tahu pihak mereka sudah menyalurkan bantuan di Indonesia termasuk mengagihkan topeng muka selain sumbangan lain. Kini ia dipanjangkan di Malaysia pula,” kata Elfira.
Difahamkan, peminat yang ingin mendapatkan koleksi tudung boleh membuat pembelian sambil beramal dengan membeli tudung koleksi The Maharani Series.
Koleksi itu dilancarkan pada Jumaat lalu secara serentak di Indonesia dan Malaysia.
Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri berkata, kerjasama mereka tercetus dengan sekelip mata dan tanpa diduga serta menyifatkan ia sebagai satu kerahmatan ekoran perjalanannya dipermudahkan.
“Saya sudah empat tahun bertudung. Dalam tempoh itu sudah beberapa kali menjadi duta atau bekerjasama dengan jenama tudung.
“Saya sejak dua ketiga tahun lalu juga sebenarnya menjadi peminat secara diam kepada jenama ini. Kalau terbang ke Jakarta, saya akan membeli skaf dan tudung jenama berkenaan kerana materialnya cukup selesa dan kemas.
“Pada masa sama, saya dapat tahu mereka juga mengintai untuk bekerjasama dengan artis Malaysia. Difahamkan ada beberapa calon lain, tapi rezeki berpihak kepada saya,” katanya.
Sementara itu, bagi Pengarah Kreatif Buttonscarves, Linda Anggrea, beliau menyifatkan kerjasama terjalin dengan Elfira cukup tepat dengan personaliti, aura dan imej bertudung dimilikinya.
“Ini juga kerjasama perdana dan sulung kami dengan artis dari negara lain. Cita cita itu sudah lama dan akhirnya berjaya direalisasikan kini.
“Selama ini kami mencari calon yang sesuai berkolaborasi dengan Buttonscarves. Ternyata Elfira sudah menjadi seorang penggemar Buttonscarves sejak dulu. Personaliti dimilikinya juga menjadi terjemahan nuansa fesyen kami," katanya.
Mengulas mengenai gelaran ‘Maharani’ pada koleksi itu, Linda berkata gelaran itu diguna pakai oleh masyarakat India kepada pemimpin wanita.
“Dalam bahasa sanskrit India, erti nama Maharani merupakan gabungan dari kata Maha yang bererti Agung dan Rani yang dimaksudkan sebagi Ratu.
“Koleksi ini diilhamkan dari istana di Jaipur, India yang merupakan destinasi terbaru Buttonscarves ketika sesi fotografi koleksi diadakan,” tambah Linda lagi.
Dalam pada itu, Linda berkata pihaknya membuat keputusan untuk menjalinkan kerjasama khusus itu bersempena dengan bulan Ramadan ini selain bercadang untuk membuka premis jenama tudung itu di tiga pusat beli belah di Malaysia termasuk Avenue K.
Bagi mereka yang mahu membeli sambil beramal boleh layari www.buttonscarves.com atau menerusi aplikasi buttonscarves.
#artis
#Buttonscarves
#COVID19
#Elfira Loy
#India
#Indonesia
#jualan amal
#Maharani
#The Maharani Series
#tudung