Harvey Weinstein ugut pecahkan 'kepala lutut' Salma Hayek jika tak tidur bersama
Agensi
Februari 9, 2018 11:28 MYT
Februari 9, 2018 11:28 MYT
Siapa sangka hidup seorang selebriti terkenal, Salma Hayek dibelenggu dalam ketakutan selama 16 tahun kerana diugut dicederakan dan dibunuh.
Pelakon kelahiran Mexico itu mendedahkan sering menerima ajakan seksual dan 'tidur' bersama daripada penerbit filem Hollywood kontroversi, Harvey Weinstein.
Menurut Salma, beliau merasa dihantui sepanjang tempoh penggambaran filem Frida kerana terlalu takut dengan sifat panas baran penerbit itu apabila dia menolak ajakannya.
Aktres berusia 51 tahun tersebut mendedahkan semasa penampilannya di Super Soul Conversations Oprah Winfrey di New York dalam satu wawancara pada Rabu.
Selain itu, jurucakap Weinstein kemudiaannya meminta maaf bagi pihak penerbit itu atas kelakuannya yang buruk menyebabkan kemarahan aktres tersebut dan juga membuat tuntutan tidak masuk akal terhadap dirinya atas alasan mahu memastikan penggambaran filem berkenaan dapat dimulakan.
Hayek enggan mendedahkan kes ugutan seksual tersebut sebelum ini kerana malu dan memikirkan tentang perasaan anaknya.
“Bertahun-tahun dia menghantui hidup saya, kini giliran saya untuk berkata tidak kepada permintaan seks yang melampau dan wanita di era baharu yang memberikan kami hak untuk bersuara,” kata Salma.
Menurut The New York Times, sebanyak 16 bekas kakitangan di syarikat Weinstein memberitahu bahawa mereka menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja atau sebarang majlis melibatkan lelaki itu.
Malah aktres terkenal seperti Angelina Jolie dan Gwyneth Paltrow juga mendakwa pernah menjadi mangsa Weinstein yang memaksa mereka melakukan aksi lucah.
Weinstein menafikan semua dakwaan dengan menyatakan beliau tidak pernah melakukan sebarang gangguan seksual terhadap semua wanita yang terlibat.