Harvey Weinstein dijangka serah diri kepada polis
Agensi
Mei 24, 2018 07:12 MYT
Mei 24, 2018 07:12 MYT
Penerbit terkenal Hollywood, Harvey Weinstein dijangka menyerah diri kepada polis, susulan dakwaan pencabulan seksual.
Media tempatan melaporkan Weinstein berdepan kemungkinan ditahan susulan siasatan yang dijalankan ke atasnya.
Weinstein sebelum ini berdepan puluhan dakwaan, termasuk rogol dan pencabulan seksual.
Beliau bagaimanapun menafikan semua tuduhan, sebaliknya mendakwa semua hubungan yang berlaku adalah dengan kebenaran bersama.
Ini adalah kali pertama Weinstein didakwa secara rasmi, sejak tuduhan ke atasnya didedahkan satu per satu.
Pendedahan juga mencetuskan gerakan #MeToo yang bertujuan mengekang pencabulan terhadap wanita dalam industri hiburan.
Menurut The New York Times, Weinstein dijangka berdepan dakwaan susulan tuduhan dikemukakan pelakon Lucia Evans.
Tahun lalu polis New York turut menyiasat beberapa dakwaan rogol termasuk oleh aktres Paz de La Huerta.
Sejak pendedahan berhubung kelakuan Weinstein, beberapa aktress Hollywood membuat pengakuan menjadi mangsa beliau.
Akibat pendedahan itu juga Weinstein dipecat daripada firmanya sendiri Weinstein Company, yang kemudian memfailkan permohonan muflis.
Weinstein turut siasat pihak berkuasa di United Kingdom.