Harry Potter The Cursed Child bakal ke pentas teater
Madiha Abdullah
Jun 28, 2015 22:46 MYT
Jun 28, 2015 22:46 MYT
JIKA anda peminat Harry Potter, berita ini tentunya menggembirakan anda.
Penulis novel berkenaan, JK Rowling di akaun Twitternya, mengesahkan watak ahli sihir itu akan ke pentas teater tahun hadapan.
Harry Potter The Cursed Child bakal dipentaskan di London Palace Theatre dan tiket akan mula dijual musim luruh ini.
Khas untuk penggemar fanatik Harry Potter, kami kongsikan di sini beberapa fakta tentang The Cursed Child.
1. Kisah baharu dan bukan prekuel
Ramai yang menjangkakan The Cursed Child bakal berkisarkan kisah ibu bapa Harry, James dan Lily Potter sebelum kelahiran Harry, tetapi Rowling menegaskan berkali-kali bahawa ia tidak benar.
Sebaliknya, The Cursed Child adalah sebuah kisah baharu.
2. Kenapa teater?
Kebanyakan peminat Harry Potter mempersoalkan mengapa Rowling memilih medium teater untuk mempersembahkan karya terbaharunya.
Malah ada juga yang berpendapat agak mustahil untuk merealisasikan aksi magis yang biasa dilihat di dalam filem, ke pentas teater.
Namun kata Rowling, pandangan peminat akan berubah setelah menonton teater ini nanti.
3. Pasukan kreatif paling menakjubkan
Antara nama-nama yang bakal memastikan The Cursed Child satu kejayaan adalah John Tiffany, Jack Thorne dan Christine Jones.
Kesemuanya adalah nama-nama besar dalam dunia teater dan pernah memenangi banyak anugerah.