Harrison Ford cedera selepas terbabit nahas pesawat
AFP
Mac 6, 2015 09:25 MYT
Mac 6, 2015 09:25 MYT
Bintang dan pelakon “Indiana Jones” Harrison Ford dilaporkan cedera selepas pesawat ringannya terhempas di sebuah padang golf di pinggir Los Angeles pada Khamis, lapor media dan pihak berkuasa.
Ford yang berusia 72 tahun dikatakan mengalami pelbagai kecederaan di kepala dan berdarah sejurus kemalangan yang membabitkan pesawat lama dengan dua tempat duduk itu, lapor laman berita hiburan TMZ yang turut memaparkan gambar sebuah pesawat dengan bahagian muncungnya terjunam.
Jurucakap Jabatan Bomba yang enggan menamakan mangsa dan mendedahkan identiti Ford pada awalnya berkata mangsa nahas terbabit cedera parah tetapi kenyataan itu kemudiannya ditarik balik.
“Kami tidak boleh mendedahkan nama mangsa,” jurucakap jabatan itu Erik Scott memberitahu agensi berita AFP ketika ditanya mengenai kemalangan yang berlaku di Penmar Golf Course di Venice ke barat daya Los Angeles.
Menurut saksi, Ford dilihat dibantu keluar dari pesawat dan masih boleh berjalan. Tiada maklumat lanjut setakat ini.
Pesawat yang terhempas di di Penmar Golf Course di Venice ke barat daya Los Angeles. - Foto AP
Jun lalu, Ford patah kaki ketika menjalani penggambaran filem Star Wars terbaru di London.
Selain Indiana Jones, Ford juga terkenal membawa watak Han Solo seorang penyeludup dalam filem-filem Star Wars.