Harith Iskander, Dr Jezamine sah bercerai talak satu
Madiha Abdullah
Julai 25, 2024 12:48 MYT
Julai 25, 2024 12:48 MYT
SELEPAS 14 tahun, ikatan perkahwinan di antara pelawak, Harith Iskander dan Dr Jezamine Lim akhirnya terlerai apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, pada Khamis.
Harith Iskander atau nama sebenarnya Harith Iskander Musa, 57, melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd Ali selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Dr Jezamine, 41, pada 24 Jun lalu.
Peguam mewakili pasangan itu, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pihak mereka memfailkan dua permohonan iaitu perceraian dan nafkah.
Beberapa terma sudah dipersetujui oleh Harith Iskander dan Dr Jezamine termasuk berkaitan nafkah tiga anak mereka, manakala proses hak penjagaan anak (hadanah) pula akan diuruskan pada minggu depan.
Akberdin turut memaklumkan punca perceraian adalah kerana tiada persefahaman.
Terdahulu, Harith Iskander dan Dr Jezamine tiba di mahkamah secara berasingan pada jam 11.50 pagi.
Kedua-duanya memilih untuk menjalankan perbicaraan secara tertutup atas alasan enggan berkongsi isu rumah tangga mereka kepada umum.
Harith Iskander dan Dr Jezamine mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010.
Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne, 9 tahun.