Harimau Malaya bakal ada lagu sendiri, Warner Music sudah bayangkan penyanyinya

Gempak
Oktober 3, 2024 13:45 MYT
Lagu Harimau Malaya itu dijangka akan dapat disajikan dalam tempoh enam bulan akan datang atau ketika Malaysia turun memulakan kempen Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac hadapan. - Gempak
SKUAD bola sepak kebangsaan atau nama julukannya, Harimau Malaya akan mempunyai sebuah lagu tema rasmi selepas ini.
Perkembangan ini hadir selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Warner Music Malaysia mengumumkan bakal menjalinkan kerjasama sulung melibatkan kedua-dua pihak.
Pengarah Urusan Warner Music Malaysia (WMM), Dinesh Ratnam berkata, bagaimanapun judul lagu dan artis yang akan menyanyikan lagu itu hanya akan diumumkan kelak.
"Dijangka ia akan dapat disajikan kepada para pemain serta penyokong dalam tempoh enam bulan akan datang atau ketika Malaysia turun memulakan kempen Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac hadapan.
"Matlamat kami adalah untuk menghasilkan sebuah lagu rasmi bola sepak yang melampaui generasi, menyatukan peminat rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat umur untuk mempamerkan sokongan terhadap pasukan kebangsaan kita.
"Lebih daripada sekadar lagu, kami berharap lagu rasmi bola sepak ini akan menjadi suar harapan, sumber inspirasi, dan simbol perpaduan negara kita. Kami berharap lagu rasmi bola sepak ini juga akan mewakili semua pasukan bola sepak kebangsaan.
"Warner Music sudah membayangkan artis yang akan menyanyikan lagu ini. Tetapi sama ada wanita, lelaki ,penyanyi baru atau penyanyi lama semua kena tunggu," katanya ditemui di PJ Performing Arts Centre, pada Selasa.
Kata Dinesh juga, Warner Music turut bercadang mengumpulkan penyokong setia kelab itu dalam pembikinan video berkenaan.
"Apa yang penting, perancangan kami termasuklah membawa penyokong kelab bola sepak dalam klip video itu nanti.
"Ia merupakan penghargaan dan sudah pasti membawa kelainan dalam pembikinan lagu kali ini," ringkasnya.
Majlis turut dirasmikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Sementara itu, Mohd Yusoff meluahkan keterujaan beliau di atas kerjasama terbaharu FAM bersama WMM.
“Seperti yang semua sedia maklum, muzik merupakan antara elemen penting yang dapat menghidupkan rasa semangat dan keterujaan dalam sukan bola sepak.
“Ia juga antara salah satu cara di mana kita dapat menghubungkan generasi ke generasi dan saya amat teruja untuk melihat lagu rasmi bola sepak kebangsaan oleh WMM menarik rakyat Malaysia terutama sekali generasi muda daripada pelbagai latar belakang dan kaum," katanya. -- Gempak
#harimau Malaya #lagu rasmi #Warner Music #FAM
;