“Hari yang sedih, Jay Jay bukan sekadar sahabat” - Freddie Fernandez

Faida Rahim
Ogos 5, 2024 02:10 MYT
Freddie menyifatkan penyanyi legenda, Jay Jay yang meninggal dunia malam tadi, sebagai seorang insan luar biasa.
PETALING JAYA: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez menyifatkan penyanyi legenda, Jay Jay yang meninggal dunia malam tadi, sebagai seorang insan luar biasa.
Bekas anggota kumpulan The Revolvers itu menganggap Allahyarham yang dikenalinya bukan sahaja sebagai seorang sahabat, bahkan sudah seperti adik-beradik.
“Selepas Allahyarham keluar dari kumpulan The Revolvers pada 1978, hubungan kami kekal rapat.
“Saya banyak mengundang Jay Jay untuk buat persembahan termasuk pada 2022 lalu, ada satu persembahan Legenda Nostalgia di Ipoh iaitu kutipan derma bagi karyawan.
“Hari ini kita kehilangan seorang nama besar dalam industri muzik tanah air. Saya kehilangan seorang kawan baik, yang mana arwah bukan sekadar kawan, lebih daripada itu,” katanya kepada Astro AWANI.
Freddie ditemui di Masjid Al Husna, di Bandar Sunway di sini, semasa hadir memberikan penghormatan terakhir kepada sahabatnya itu.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah komposer veteran, Datuk S Atan, penyanyi Datuk Hattan, Aris Ariwatan, Zamani Slam dan ramai lagi.
Jay Jay atau nama sebenar Mohd Fauzi Darus meninggal dunia pada usia 67 tahun di Hospital Thomson, Kota Damansara, di sini, pada jam 9.27 malam tadi disebabkan kegagalan fungsi pelbagai organ dalaman.
Mei lalu, Allahyarham Jay Jay dilapor menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami serangan jantung ringan dan sesak nafas.
Freddie turut menyifatkan Jay Jay sebagai individu yang sangat berdisiplin sepanjang dua tahun Allahyarham menyertai The Revolvers.
“Karakter istimewa Allahyarham ialah sangat menghormati orang, prihatin terhadap kebajikan orang lain dan artis-artis seperjuangan. Jay Jay sentiasa membantu dan amat mudah untuk kerja dengan dia,” kongsi Freddie lagi.
#Jay Jay meninggal dunia #Freddie Fernandez #The Revolvers #rindu bayangan