Harga tiket konsert mahal, ini jawapan Faizal Tahir
Gempak
Jun 14, 2023 12:20 MYT
Jun 14, 2023 12:20 MYT
Penyanyi Faizal Tahir yang akan membuat konsert solo pertamanya pada 2 September depan menyerahkan soal harga tiket dan pakej untuk menarik penonton hadir kepada pengurus acara, Jio Events.
Jelas Faizal, biarpun terkejut pada mulanya ketika dimaklumkan tentang harga tiket yang bermula serendah RM488 (platinum) hingga RM688 (VIP), dia akur dan percaya ada sebab yang munasabah.
"Saya sedikit terkejut tapi tak adalah sampai saya persoalkan, saya letakkan bidang ini kepada yang pakar. Mereka ada data dan analisis tersendiri.
"Soal harga ini saya tak boleh jawab lebih sebab di luar bidang kuasa saya. Saya pun sejujurnya bila tengok harga tiket tu ada bertanya semula kepada mereka (pengurusan), tapi saya serahkan segalanya kepada mereka.
"Saya tak tahu nak kata salah saya juga tak ambil pusing harga tiket atau tak tanya, tapi saya difahamkan mereka mengambil kira banyak benda sebelum meletakkan harga tiket sebegitu.
"Saya rasa kalau nak revise balik harga tiket pun bukan satu benda yang bagus juga sebab dah umumkan. Saya rasa mereka pun sudah ada strategi dan pakej yang disediakan.
"Seperti yang dikatakan, harga itu diletakkan berdasarkan apa yang dijangkakan daripada saya yang mana agak 'pressure' untuk saya bila tengok harga tiket macam itu.
"Sebagai artis yang akan membuat persembahan saya perlu memberikan persembahan terbaik untuk memberikan keadilan terhadap harga tiket yang mereka bayar," katanya kepada Gempak.
Mengulas tentang perbandingan pilihan pembeli tiket yang sanggup berbelanja besar untuk artis luar negara berbanding artis tempatan, pelantun lagu Mahakarya Cinta itu menyifatkan penilaian itu bergantung pada individu itu sendiri.
"Ia satu sudut bagus untuk orang kita melihat semula, orang sanggup bayar harga tiket artis luar yang mahal sementara artis kita orang pertikaikan.
"Saya rasa selama dalam industri muzik, saya suka orang yang boleh berfikir dengan baik dan justify dengan baik, bukan buat tanggapan tak berasas atau tak berilmu.
"Pada saya, itu situasi yang bagus untuk dipertimbangkan. Saya rasa 17 tahun itu Alhamdulillah saya dapat hasilkan karya yang baik untuk orang membayar tiket dengan harga itu.
"Tapi saya juga harus berhati-hati, maka saya letakkan pada budi bicara dan cara pemikiran mereka yang nak datang pada konsert saya.
"Saya tak nak ambil kritikan orang untuk kacau fokus saya, the show must go on, sentiasa ada kebarangkalian tiba-tiba orang tak nak beli orang nak boikot. Kalau tak ada orang nak masuk tengok pun, saya masih akan teruskan persembahan.
"Saya pun dah lama tak layan konsert, kurang tahu tentang scene dan soal harga tiket artis lain selepas PKP.
"Tapi saya sebagai artis yang sudah 17 tahun dalam industri, saya ada sesuatu untuk dikongsikan kepada orang ramai dan saya akan pastikan ini adalah lebih kepada pengalaman muzik. Bukan hanya datang tengok saya perform dan balik tak dapat apa," janjinya.
Sementara itu, mengulas tentang isu sama, penganjur dari JioBuddy, Sean Ng memberitahu pihaknya telah menjalankan analisis terperinci sebelum meletakkan harga tiket sedemikian.
"Kami mengambil kira banyak perkara sebelum meletakkan harga untuk sesebuah konsert. Kandungan acara, suara, lokasi dan interaktiviti audiens, pastinya itu akan menjadikan sebuah konsert bersifat premium.
"Kami yakin, it will be a good show!" jelasnya.
Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur yang dibawakan oleh Allianz Malaysia Berhad bakal dilaksanakan pada 2 September 2023 di Dewan Merdeka, World Trade Centre pukul 8.30 malam.
Tiket-tiket berharga RM488 (Platinum), RM588 (Diamond) dan RM688 (VIP) boleh dibeli menerusi www.jiotix.asia atau hubungi hotline: 011-5100 3111 (kiriman WhatsApp sahaja). - Sinar Harian