"Harap ia bawa ketenangan" - Fattah Amin lancar 5 Zikir
Gempak
Mac 26, 2023 12:02 MYT
Mac 26, 2023 12:02 MYT
PEMINAT industri seni hiburan tanah air yang mengikuti perkembangan selebriti popular Fattah Amin dari dekat, tentunya tahu perubahan yang dilaluinya dari semasa ke semasa.
Figura berusia 33 tahun ini memulakan langkah dalam peragaan, kemudian menggilap bakat dalam lakonan dan seterusnya melebarkan sayap dalam nyanyian pula.
Bagaimanapun bukan lagu-lagu berkonsep komersial menjadi pilihan Fattah kerana dia sebaliknya menggemari genre dakwah, ketuhanan serta memuji dan memuja keagungan Allah.
Terbaharu, Fattah baru sahaja melancarkan lima lagu zikir eksklusif sempena kedatangan bulan Ramadan yang boleh didapati menerusi aplikasi Mukmin Pro.
Fattah berkata, dia bersemangat untuk berkongsi lagu-lagu zikir ini dengan peminat dan komuniti Muslim yang lebih luas.
"Ia merupakan penghormatan untuk melagukan zikir ini secara eksklusif di aplikasi Mukmin Pro, dan saya berharap ia membawa ketenangan dan kedamaian kepada mereka yang mendengarnya semasa bulan Ramadan yang diberkati ini," katanya.
Lagu-lagu zikir yang diterbitkan oleh Mukmin Pro ini adalah sebahagian daripada fokus baru Fattah dalam menghasilkan lebih banyak kandungan zikir dan muzik Islamik.
Lima trek zikir iaitu Iktiraf, Taubat Nasuha, La Hawla wala Quwwata illa billah, Rabbi Yassir, dan Zikir Fatimah tersedia di aplikasi Mukmin Pro.
Projek ini dihasilkan dibawah jenama Masyhur iaitu label rekod di bawah Universal Music yang turut menyokong inisiatif ini.
Menurut Fattah lagi, dia dan isterinya iaitu selebriti terkenal Nur Fazura sudah lama menyimpan hasrat untuk mempunyai aplikasi dan program sebegitu.
"Keinginan kami (bersama isteri Fazura) untuk buat aplikasi dah lama wujud. Kami terdetik, satu hari kami teringin nak ada program begini.
"Di situlah bermulanya kami 'create' aplikasi Mukmin Pro. Sebenarnya saya dengan Faz dah banyak plan untuk buat lebih banyak lagi selain dari features-features yang ada di Mukmin Pro.
"Salah satunya Daily Zikir yang sebelum ini kita plan, waktu itu terdetik kenapa tak buat sendiri. Memandangkan saya artis Universal Music, dua lagu sebelum ini dengan mereka pun lagu ketuhanan.
"Jadi saya terfikir, dah ada features Daily Zikir kenapa tak buat zikir daripada saya dan mungkin lepas ini ada banyak lagi artis-artis Masyhur ataupun ada lagi artis-artis kat luar genre nasyid, Islamik dan Ketuhanan yang kita boleh berkolaborasi untuk kita letak dalam features Halwa," katanya.
Menurutnya, niat mereka sebenarnya tidak lain adalah untuk bagi orang tahu berkenaan kiblat, beritahu tentang sembahyang serta benda-benda kerohanian.
"Jadi, kami fikir buat sendirilah dan dari situlah saya berjumpa rakan-rakan dan mula hasilkan projek ini. Mulanya kami plan hasilkan tiga zikir.
"Zikir-zikir ini memang yang orang dah 'familiar'. Kami buat muzik baru dan arrangement baharu. Dari tiga tiba-tiba jadi macam tak cukup kerana satu zikir dua minit sahaja.
"Ia terlalu sekejap sangat. Untuk itu kami tambah lagi dua. Sampailah lengkap lima track zikir dari kami," katanya.
Lagu-lagu zikir ini boleh dihayati melalui Spotify, Apple Music dan Youtube mulai minggu pertama Ramadan ini edaran Masyhur/ Universal Music. -- Gempak