"Harap boleh berdiri tegak semula.."- Zamani jalani pembedahan selepas konsert

Gempak
September 21, 2022 11:51 MYT
Menurut Zamani, pembedahan yang dijangka berlangsung pada November ini akan dilakukan bagi memperbetulkan urat tunjangnya.- Astro AWANI
VOKALIS kumpulan Slam Zamani berharap dia dapat berdiri tegak semula selepas menjalani pembedahan bagi menyembuhkan penyakit skoliosis yang menyebabkan tulang belakangnya membengkok.
Menurut Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 51, pembedahan yang dijangka berlangsung pada November ini akan dilakukan bagi memperbetulkan urat tunjangnya.
“Alhamdulillah buat masa sekarang kesihatan saya dalam keadaan yang baik cuma masalah utama saya sekarang ni adalah urat tunjang.
“Pembedahan ni pun dilakukan untuk nak memperbetulkan urat tunjang tu. Saya harap lepas pembedahan nanti, saya boleh berdiri tegak semula,” kata Zamani sewaktu menjadi tetamu program MeleTOP yang bersiaran secara langsung pada malam tadi.
Dalam pada itu, Zamani yang bakal membuat persembahan di Konsert Doa Buat Zamani pada 30 September ini di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert ini diadakan bagi membantu Zamani mendapatkan dana selepas pembedahan untuk dirinya menjalani kehidupan sehari-harian selepas itu.
“Saya akan menjalani pembedahan selepas konsert, dan pembedahan akan berlangsung pada hujung tahun nanti,” ujarnya lagi.
Konsert yang dijadualkan dalam durasi 90 hingga ke 120 minit ini dibuat dalam versi unplugged dan akan dihadiri oleh rakan-rakan seni tanah air yang lain.
Antara yang bersama-sama dalam konsert ini ialah Fauziah latif, Datuk Ramli Sarip, Rahim Maarof serta penampilan istimewa oleh Datuk Aznil Haji Nawawi. -- Gempak
#Zamani #tulang belakang bengkok #jalani pembedahan #Gerimis Mengundang
;