Hanyut akhirnya 'sangkut'
Israr Khalid
Oktober 12, 2016 07:38 MYT
Oktober 12, 2016 07:38 MYT
PENUH Dewan Kayangan 2 Hotel AnCasa, Kuala Lumpur dengan warga media dan para jemputan yang jelas pada wajah mereka teruja dengan muktamadnya tarikh tayangan filem Hanyut.
Seperti yang diuar-uarkan sejak beberapa minggu lalu, filem arahan U-Wei Haji Saari itu akhirnya akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 24 November ini.
Dari balkoni di sebelah kiri dewan, terlihat poster gergasi filem Hanyut yang direntangkan pada bangunan Cahaya Suria yang menjadi sebab pertemuan pada hari ini.
Ya, filem Hanyut akhirnya akan ditayangkan di Malaysia!
Penantian akhirnya terjawab selepas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memberi suntikan dana RM1.8 juta, membolehkan Hanyut bernyawa di tanah kelahirannya.
Walaupun sedikit beban sudah ke tepi dengan muktamadnya tarikh tayangan, U-Wei menyatakan masih terbeban dengan kerja meyakinkan para pemilik panggung bahawa filemnya itu mampu menarik audiens.
Keyakinan itu berasaskan kualiti tinggi pembikinan filem itu tidak seperti filem-filemnya sebelum ini yang dibikin dengan belanja kecil.
"Mereka sukar menentukan kerana filem saya sukar untuk dirujuk dengan mana-mana filem lain. Kalau ada satu filem macam francais yang laku, mereka akan beri kepercayaan.
"Saya faham itu tentang mereka dan saya harap dapat buktikan kepada mereka bahawa Hanyut akan laku," katanya.
Bagaimanapun, masalah keyakinan pemilik panggung terhadap kemampuan Hanyut juga bergantung kepada penerimaan khalayak tempatan terhadap filem seumpama itu.
Sebahagian besar rakyat Malaysia lebih gemar menonton filem ringan berbanding naskhah yang memerlukan mereka untuk berfikir.
Itu sebenarnya kerisauan U-Wei, khalayak tidak mampu menerima dan menghargai sebuah karya yang dikerjakan sepenuh hati itu.
"Kita boleh buat filem yang cerdik kalau ada audiens yang cerdik," katanya bersahaja.
Karya terbaharu U-Wei ini pada mulanya hanya dinantikan oleh beberapa kelompok pengikutnya, tetapi kini menjadi perbualan hampir seluruh peminat filem tempatan selepas trailernya rancak dikongsi di media sosial.
Melihat pada trailernya sahaja cukup untuk memberi gambaran bahawa Hanyut akan menyajikan sesuatu yang tidak pernah dihasilkan industri perfileman tanah air.
Mana tidaknya, pengarah fotografinya dari Poland yang pernah bekerja dengan pengarah legenda, Francis Ford Copolla, pereka produksinya dari Australia, dan kru produksi serta pelakonnya adalah campuran bakat hebat tempatan dan luar negara.
Sofia Jane, Khalid Salleh, Adiputra, Diana Danielle, Bront Palarae, Sabri Yunus, pelakon Indonesia Alex Komang, El Manik dan pelakon Australia Peter O'Brien adalah antara tunjang naskhah yang diadaptasi daripada novel Joseph Conrad ini.
Kualiti teknikal pembikinannya bertaraf antarabangsa, dan seperti biasa karya U-Wei sentiasa menjentik minda dan membawa pemikiran ke aras cemerlang.
Hanyut telah menjelajah ke festival-festival filem antarabangsa antaranya Festival Filem Asia Tenggara di Singapura, Festival Filem Asia di Canberra, dan Festival Filem Asia Jogja-Netpac ke-8.
Selain itu, ia turut ditayangkan sebagai filem penutup di Five Flavours Festival ke-7 di Warsaw Poland dan turut menerima pencalonan Lakon Layar Terbaik di Anugerah Skrin Asia Pasifik di Brisbane, Australia.
Hanyut juga terlebih dahulu ditayangkan di Indonesia pada 2014 dengan tajuk 'Gunung Emas Almayer' dan telah mendapat respon yang amat memberangsangkan di mana penonton Indonesia berkongsi sentimen sama iaitu mereka tidak pernah menonton filem Malaysia sebaik Hanyut.
Kesungguhan U-Wei menghasilkan filem yang bermutu tinggi telah membawa Hanyut memakan belanja RM18 juta, satu jumlah yang dikira amat tinggi buat sebuah filem tempatan.
Namun Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Md Khair Ngadiron menjelaskan barang berkualiti pastinya menuntut harga yang tinggi.
Beliau yang telah menyaksikan filem tersebut di Indonesia, memberitahu bahawa Hanyut akan menjadi penanda aras untuk filem Malaysia serta karya seni lain bergerak ke hadapan.
#Adiputra
#Alex Komang
#Bront Palarae
#Diana Danielle
#filem
#FINAS
#hanyut
#Khalid Salleh
#sabri yunus
#Sofia Jane
#U-wei