Hanya bertahan dua bulan, Demi Lovato dan Max Ehrich putus tunang
Afiq Ariffin
September 25, 2020 10:48 MYT
September 25, 2020 10:48 MYT
BARU sahaja dua bulan mengikat tali pertunangan, penyanyi dan pelakon popular, Demi Lovato mengesahkan dia dan tunangnya Max Ehrich mengambil keputusan untuk membatalkan perkahwinan mereka serta berpisah secara rasmi.
Perkara itu dikhabarkan penyanyi itu sendiri kepada portal hiburan TMZ.
Malah, menurut sumber yang juga merupakan rakan karib Demi, kedua-dua mereka kini memilih untuk memfokuskan diri kepada kehidupan masing-masing.
“Ia adalah suatu keputusan yang amat berat buat kedua-dua mereka, namum Demi dan Max telah mengambil keputusan untuk berpisah secara baik dan memberikan fokus kepada karier masing-masing.
“Mereka saling menyayangi antara satu sama lain dan gembira bersama terutama semasa tinggal serumah,” kata rakannya itu.
Demi dan bekas tunangnya itu dikhabarkan mula berkenalan pada Mac lalu dan perhubungan mereka bergerak pantas terutamanya ketika pelaksanaan arahan kuarantin di Amerika Syarikat.
Max kemudiannya melamar Demi dengan sebentuk cincin di tepi pantai dekat Malibu.