'Hang Tuah' gembira dikurniakan anak kembar

Ridauddin Daud
Februari 11, 2023 15:36 MYT
Stephen Rahman Hughes berkongsi kegembiraannya mendapat anak kembar menerusi akaun Instagramnya. - @stephenrahman_hughes
PELAKON yang terus diingati kerana menjayakan watak Hang Tuah dalam pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) pada 2006, Stephen Rahman Hughes, berkongsi berita gembira di Instagram beliau baru-baru ini.
Bukan 'double the trouble, but double the joy'... Itu mungkin ungkapan paling sesuai buatnya dan isteri, Anjalina Mehra bagi memulakan Februari tahun ini.
Manakan tidak, pasangan itu dikurniakan anak kembar lelaki - diberi nama Sonny Rain dan Remy Jude - selamat dilahirkan di United Kingdom pada minggu lepas.
“Hari ini hidup saya mengalami perubahan yang besar. Anak kembar!
"Isteri saya bersalin sekali lagi dengan melahirkan dua anak lelaki yang comel,” tulisnya di media sosial beliau.
Dalam status sama, Hughes turut mengimbas detik isterinya berdepan pengalaman sangat mencabar semasa melahirkan anak pertama, Aphra, kira-kira 18 bulan lalu.
"Kehidupan kami lebih bermakna dengan kehadiran tiga ‘malaikat’ kecil ini.
"Kami sentiasa berharap dan berusaha sejak sekian lama dengan penuh sabar menantikan kehadiran zuriat. Kami sangat bersyukur,” katanya yang juga merupakan teraju utama filem Hikayat Merong Mahawangsa.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif PGL, Datin Seri Tiara Jacquelina turut mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut.
"Oh wow, saya sangat gembira untuk anda berdua. Saya menangis ketika membaca ini.
"Saya tidak sabar untuk bertemu anda berlima jika saya ke London satu masa nanti," tulis beliau.
Stephen berkahwin dengan Anjali di Tuscany, Itali pada 2010.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak pertama yang juga perempuan, Aphra pada 2021.
#stephen rahman hughes #anak kembar #Hang Tuah #pelakon #selebriti
;