Hampir pasti! Mahalini sedia jumpa Siti Nurhaliza bincang buat lagu
Asyraf Roslan
Januari 15, 2024 11:23 MYT
Januari 15, 2024 11:23 MYT
TIDAK sampai 24 jam, penyanyi kesayangan Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi respons terhadap jawapan penyanyi Indonesia, Mahalini yang mahu mencipta lagu buatnya.
Bekas peserta Indonesian Idol itu tersipu malu apabila ditanya mengenai respons yang diberikan oleh Siti menerusi kemas kini di IG stories-nya pada Ahad.
Menurut Mahalini atau Mahalini Ayu Raharja, 23 tahun, jika diberikan peluang untuk berjumpa dengan Siti pasti dia akan menanyakan genre lagu yang bagaimana Siti mahukan.
“Insecure (sambil ketawa malu),senang tapi tetap insecure, ya boleh.. nanti kita berjumpa untuk berbincang,"
"Semoga diberi kesempatan untuk berjumpa dengan Datuk pada masa akan datang. Mungkin masa saya datang untuk konsert nanti, saya harap dapat berjumpa dengan Datuk dan boleh berbincang lebih lanjut.
"Jadi, saya tahu lagu yang macam mana Datuk mahukan," katanya.
Pada masa sama, Mahalini menyatakan bahawa jika dia mahu menciptakan lagu untuk seseorang dia harus tahu apa yang dimahukan oleh penyanyi tersebut.
“Saya harus tanya Datuk lagu yang macam mana dia mahukan, kerana saya sebagai pencipta harus tahu apa yang mereka mahukan,” ujarnya lagi.
Mahalini ditemui selepas sesi radio 3 Pagi Era bersama Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin pada Isnin.
Untuk rekod antara pencipta lagu dari Indonesia yang pernah bekerjasama dengan Siti adalah Melly Goeslow Ade Govinda dan Andi Rianto menerusi lagu Menjaga Cintamu.
Pelantun lagu 'Ini Laguku' ini akan kembali ke Malaysia bersama Rizky Febian untuk Lovecheastra Mahalini Live In Kuala Lumpur pada 3 Febuari 2024 di Megastar Arena Kuala Lumpur.
Peminat masih boleh mendapatkan tiket menerusi www.ticket2u.com.my/mahalini