Hamlet versi Bahasa Melayu ke pentas teater KLPAC
Dania Zainuddin
Ogos 7, 2016 10:19 MYT
Ogos 7, 2016 10:19 MYT
Ikon teater tanah air, Datuk Faridah Merican kembali ke kerusi pengarah bagi pementasan karya William Shakespeare, Hamlet, di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), minggu ini.
Menurut Faridah, ia merupakan pementasan ke-4 beliau dan Hamlet versi Bahasa Melayu kali ini menampilkan barisan pelakon mantap diiringi gubahan muzik yang dicipta khas serta pelbagai mesej serta pengajaran yang boleh dibawa pulang penonton.
Bersempena sambutan Festival Shakespeare 400 oleh KLPAC, Faridah memilih untuk mengarahkan karya Hamlet kerana minatnya yang mendalam terhadap cerita yang berbentuk tragedi.
"Saya rasa ia sangat menarik. Saya juga berpendapat Shakespeare telah menghasilkan karya yang sangat baik.
"Watak Hamlet memiliki pelbagai ragma. Dia bukan sahaja ada satu sifat seperti watak dalam karya Shakespeare yang lain contohnya Midsummer Nights' Dream," kata Faridah selepas Malam Pembukaan Teater 'Hamlet' di Sentul pada Khamis
Teater ini mengisahkan pergelutan seorang putera yang dirasuk rasa dendam yang mendalam atas kematian bapanya.
Pada masa sama, ibunya pula mengahwini bapa saudaranya sebelum pengebumian bapanya disempurnakan.
"Saya sangat tertarik dengan jalan cerita Hamlet. Ia bukan sahaja sebuah tragedi, tetapi juga memiliki unsur cinta, cemburu dan kegilaan.
"Terdapat pelbagai mesej tentang bagaimana kita boleh hilang segala-galanya jika kita tidak mampu mengurus atau kita terlalu mentah sehingga terpengaruh dengan keadaan sekeliling," kata Faridah.
Tambahnya, beliau amat bertuah kerana memiliki bakat-bakat dari pelakon, pemuzik termasuk penata cahaya dan pereka set yang mampu menyampaikan apa yang dibayangkan.
"Saya suka karya yang membuat anda berfikir, merasa dan menangis.
"Saya mahu usahakan karya yang saya minat kerana mahu berkongsi dengan penonton dan juga pelakon," kata Faridah.
Walaupun kisah Hamlet ini sudah berusia lebih 400 tahun, Faridah berpendapat, mesej dan pengajaran dalam semua karya William Shakespeare masih kekal relevan kerana ia banyak menyentuh isu perjuangan untuk negara, isu keluarga dan perhubungan.
Pementasan Hamlet, hasil adaptasi Ahmad Yatim ini berlangsung antara 4 hingga 7 Ogos di Pentas Seni KL atau KLPAC.
Ia menampilkan pelakon, Ali Alasri, Tria Aziz, Hana Nadira, Omar Ali dan Arief Hamizan.
#Faridah Merican
#Festival Shakespeare 400
#Hamlet
#Ikon teater tanah air
#KLPac
#William Shakespeare