Hairul Azreen umum bersara jadi pelakon, Malbatt: Misi Bakara filem terakhir

Gempak
Ogos 21, 2023 12:26 MYT
Kata Hairul filem Malbatt: Misi Bakara yang bakal ditayangkan pada 24 Ogos ini adalah kemunculannya yang terakhir sebagai pelakon. -Gempak
“SAYA Hairul Azreen saya nak mengumumkan yang saya berhenti berlakon for good,” maklum aktor Hairul Azreen yang mengumumkan dia bakal bersara daripada dunia lakonan ketika menjadi jemputan ke segmen 3 Pagi Era, pagi tadi.
Kata Hairul filem Malbatt: Misi Bakara yang bakal ditayangkan pada 24 Ogos ini adalah kemunculannya yang terakhir sebagai pelakon.
Keputusan itu dibuat selepas merasakan dia sudah puas berada di dalam industri lebih 15 tahun.
“Sebab saya dah buat semua benda saya dan dah jadi seorang pelakon stunt, pelakon filem.
"Kemudian saya doa nak jadi hero filem dan Allah makbulkan pula sekarang saya jadi action hero filem dalam Malbatt.
"Malah filem-filem saya seperti Paskal membuatkan 40 persen orang jadi tentera.
“Dan insya-Allah, Malbatt filem yang terakhir saya sebagai pelakon dan tentera,” katanya.
Pengumuman itu telah mengejutkan semua penyampai 3 Pagi Era termasuk Azad dan Linda Onn yang berkali-kali bertanyakan keputusan yang dibuat.
Kata Hairul, ia keputusan muktamad dan dia bangga kerana filem Malbatt: Misi Bakara adalah filem yang terakhir lakonannya
“Ini betul, sebab Allah dah bagi saya macam-macam melainkan saya menjadi manusia yang tak bersyukur.
“Saya dah buat belakang tabir, jadi stuntman, pelakon extra, investor filem, pengarah, produser semua benda saya dah lalui.
“Perjuangan saya biarlah saya akhir dengan filem yang membanggakan saya iaitu Malbatt,” ujarnya.
Tambah Hairul, tiba masanya untuk dia fokus pada keluarga dan anak-anak yang sedang membesar.
“Saya akan aktif di media sosial, cuma berlakon tidak lagi kerana saya tidak mahu sia-siakan masa bersama ibu bapa saya serta anak-anak.
“Bayangkan bila saya berlakon saya akan fokus dengan satu watak serta buat badan selama enam bulan.
"Sehinggakan anak-anak membesar dengan cepat tanpa saya sedari dan saya tidak dapat bersama mereka ketika proses itu.
“Jadi saya dan Hanis selepas ini akan fokus pada perniagaan pula,” katanya.
Malbatt: Misi Bakara bakal menjengah panggung pada 24 Ogos ini dengan menampilkan barisan pelakon seperti Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi, Dafi Ismail Sabri, Taufiq Hanafi, Ikhram Juhari, Safwan Nazri, Gambit Saifullah dan Theebaan G.
Difilemkan berdasarkan kejadian dan fakta sebenar pertempuran dua hari pada 3 Oktober 1993 di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia, yang tidak begitu diketahui orang ramai.
Seramai 114 anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) 1 terbabit dalam misi pengaman di Somalia pada 1992 hingga 1995. -Gempak
#Hairul Azreen #Malbatt Misi Bakara #berhenti berlakon #filem terakhir
;