'Hail Amir peramah, senyuman tak lekang di bibir' - DJ Dave
Ridauddin Daud
Mei 6, 2024 19:40 MYT
Mei 6, 2024 19:40 MYT
KUALA LUMPUR: Allahyarham Datuk Hail Amir semasa hayatnya merupakan seorang yang peramah, tidak pernah burukkan orang dan sentiasa melemparkan senyuman.
Demikian perkongsian rakan baik arwah yang Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave ketika ditemui media di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di ibu negara, pada Isnin.
Menurutnya, beliau kali terakhir bertemu penyanyi Wajah Kesayangan Hamba itu pada Ahad di HKL ketika melawatnya di sana.
Tambahnya, beliau tidak tahu Hail Amir pernah dimasukkan ke hospital sebelum ini dan hanya diberitahu pada Sabtu lepas setelah anak Allahyarham menghubungi dan mendedahkan perkara itu.
“Semalam saya dapat melawat arwah dan dia cam saya. Saya tanya, Hail kenal saya? Dia kata kenal. Saya bercakap dengan dia, dia lemah, suara keluar tapi tak dengar.
“Allahyarham seorang peramah, seorang yang memang tidak pernah burukkan orang, saya selalu bergurau dengan dia, selalu berjenaka dengan dia.
“Dia peramah dan seorang yang baik. Ini merupakan satu kehilangan besar buat negara,” katanya.
Menurutnya, beliau selalu berhubung dengan arwah dan mengakui begitu meminati suara arwah yang beliau sifatkan sebagai ‘sedap dan merdu’.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan YA1M akan menguruskan segala proses perjalanan terakhir pelantun lagu Seloka Hari Raya itu, dari urusan mandi jenazah, solat, sehinggalah selesai pengebumian.
Hail Amir meninggal dunia pada Isnin, jam 3.40 petang di HKL dan meninggalkan seorang balu serta empat anak.
Arwah dimasukkan ke hospital kira-kira tiga hari lalu akibat komplikasi paru-paru.
Seniman dalam satu kenyataan memaklumkan jenazah akan dikebumikan pada pagi Selasa di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang di Selangor.