Hafiz Suip tak pernah ‘hilang’, hanya ambil masa…

Gempak
Ogos 6, 2024 14:26 MYT
Hafiz ditemui ketika selesai membuat persembahan di Konsert ByAjai & Mega Friends yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto Gempak
PENYANYI Hafiz Suip memberitahu dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengatakan dirinya mahu meninggalkan industri atau merajuk.
Berehat Sekejap
Terima hakikat dengan kehadiran penyanyi baharu dalam industri, Hafiz bagaimanapun berkata dia mengambil keputusan untuk berehat seketika disebabkan berdepan dengan masalah yang enggan dikongsikan lebih lanjut.
“Sebenarnya saya tak kata nak tinggalkan industri atau merajuk… tak ada. Cuma saya rasa macam nak berehat sekejap. Nak tarik nafas… sebab dengan keadaan di mana kita pun ada masalah kita.
“Jadi, saya rasa tiba masa untuk berehat sekejap. Saya sentiasa ada dalam industri, cuma kurang diri saya nak menonjol seperti dahulu. Saya kena terima, maksud saya yang saya tak relevan itu, saya ini dah tak relevan habis.
“Benda ini hakikat di mana adanya orang baharu, orang lama ini tenaga dah tak sama seperti dulu. Sudah tentu ia beri kesan kepada kita,” kata Hafiz kepada Gempak.
Hafiz ditemui ketika selesai membuat persembahan di Konsert ByAjai & Mega Friends yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kemunculan Hafiz di konsert itu sememangnya mengubat kerinduan peminat yang turut memberi sorokan serta ‘standing ovation’ sebagai tanda sokongan terhadapnya.
Sedar Keadaan Diri
Dalam pada itu, penyanyi lagu Ku Akui ini menyedari dirinya pernah berada dalam keadaan ‘meroyan’ namun menganggap ia merupakan fasa di mana semua manusia juga melaluinya.
“Sejujurnya saya dalam keadaan tidak baik. Mungkin waktu itu semua orang tengok saya macam meroyan. Saya sedar apa yang saya buat, kenapa saya jadi macam itu. Saya juga sedar yang saya juga manusia biasa,” ujarnya.
Sementara itu, Hafiz memberitahu dia banyak menghabiskan masa menghiburkan dirinya dengan melakukan aktiviti memancing di kampung halaman, Kuching, Sarawak selain menyewakan bot miliknya kepada rakan-rakan.
Hiburkan Diri
“Saya banyak habiskan masa untuk gembirakan diri sendiri. Sebab ya lah, asyik saya hiburkan orang… jadi tiba masa saya hiburkan diri saya dengan aktiviti saya selalu buat.
“Macam memancing, saya pergi jumpa ibu ayah saya. Saya sekarang memang menetap di Kuching, sejak dua bulan lalu. Dekat kampung pun, saya menjana pendapatan juga.
“Saya seronok, saya sewakan bot, walaupun tak ada mahal tetapi ia sangat memorable, tak boleh dibeli,” ujarnya yang bakal mengadakan konsert solo di Kuching pada 13 Oktober depan. -- Gempak
#Hafiz Suip #tinggalkan industri nyanyian #berehat sekejap #merajuk
;