Hael Husaini umum peluncuran album sulung, ANTONIM (PART I)
Gempak
Disember 27, 2023 12:17 MYT
Disember 27, 2023 12:17 MYT
SETELAH sekian lama menumpahkan sisi kreatifnya sebagai penyanyi dan komposer, penghibur berbakat besar, Hael Husaini bakal hadir dengan buah tangan baharu - album perdana berjudul ANTONIM (PART I) pada 5 Januari 2024.
Hael berkata, pembikinan ANTONIM (PART I) bermula sejak tiga tahun lalu, dengan penghasilan sebanyak 20 buah demo pada peringkat awal.
“Sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, saya telah menghasilkan lebih kurang 20 buah lagu (demo) untuk album pertama ini dan setelah berbincang dengan pihak label serta pasukan saya, hanya 10 buah lagu sahaja telah disenaraipendekkan serta beberapa buah lagu lama yang telah diberi susunan semula khas untuk album ini.
“Dalam album ANTONIM (Part I) terkandung lagu-lagu seperti Diam, Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra).
Sebanyak empat buah lagu daripada album ini dipilih kerana menjadi lagu tema bagi sebuah drama bersiri popular yang mula ditayangkan baharu-baharu ini, manakala dua lagu lagi lagu yang belum pernah diperdengarkan kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, album ANTONIM (Part I) memberi signifikasi besar dalam kerjayanya yang menjangkau angka 17 tahun.
“Album sulung ini sangat penting buat karier saya kerana sudah lama saya cuba merealisasikannya. Ia merupakan impian terbesar saya dan banyak sangat cabaran serta kisah duka yang saya dan pasukan saya tempuhi.
“ANTONIM (PART I & II) saya jadikan medan untuk berkarya tetapi konsepnya berlawanan dengan apa yang sering saya hidangkan buat pendengar sebelum ini, namun keseluruhan lagu masih berkonsepkan pop yang bernuansakan balada serta rock,” katanya lagi.
Menurut Hael, setiap lagu dalam albumnya mempunyai jalan cerita dan kisah yang tersendiri, berlandaskan dari kisah benar malah ada juga yang bersifat dongeng serta kisah-kisah orang di sekeliling yang menjadi idea buatnya.
Lagu Diam yang dilancarkan pada 22 Disember lalu turut dilancarkan dalam bentuk klip video dengan keistimewaan tersendiri.
“Lagu ini sangat dekat dengan persekitaran kita, ia merupakan satu luahan kekecewaan terhadap seseorang yang mengkhianati kita, orang yang berpura-pura suka terhadap kewujudan kita tetapi sedang berusaha untuk menjatuhkan kita dan ingin melihat hidup kita musnah,” kongsinya. -Gempak