Hadiah bermakna buat Che Ta di usia 50 tahun, berpindah ke banglo mewah RM10 juta
Faida Rahim
Mac 11, 2023 11:10 MYT
Mac 11, 2023 11:10 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan jelita, Rozita Che Wan atau Che Ta mengakui, kehidupannya bertambah bermakna selepas meraikan ulang tahun ke 50 pada 9 Mac lalu.
Lebih manis apabila Che Ta meraikan ulang tahun di kediaman baharu bernilai hampir RM10 juta.
Katanya kepada Astro AWANI, banglo yang terletak di Petaling Jaya itu akhirnya berjaya siap selepas penantian empat tahun termasuk menghadapi beberapa masalah termasuk kontraktor pembinaan menghilangkan diri.
“Tak dapat saya gambarkan perasaan menyambut ulang tahun kali ini. Tambah pula dapat masuk rumah baharu. Bukan sikit wang Ringgit saya laburkan untuk rumah ini.
“Kena tipu dengan beberapa kontraktor pembinaan lagi. Kemudian kita diuji dengan pandemik COVID-19, jadi proses pengubahsuaian rumah itu pun tertangguh.
“Tapi kini, saya bersyukur semuanya berakhir. Nak pula, Ramadan dan Syawal bakal disambut umat Islam tak lama lagi. Dapat masuk rumah baharu ini, kira hadiah paling terindah buat saya,” katanya.
Menurut artis kelahiran Alor Setar, Kedah itu lagi, dia turut mengajak ibu dan ibu mentuanya tinggal bersama di kediaman baharunya itu.
Keputusan Che Ta mentuanya itu turut mengejutkan suaminya, Zain Saidin.
“Zain sendiri terkejut dan tak sangka saya nekad mengajak ibunya tinggal bersama. Tak ketinggalan teman rapat saya pun ada yang berperasaan sama.
“Lagipun mak mentua saya tinggal seorang diri selepas cucunya yang juga anak Sasha Saidin berpindah ke luar negara. Jadi saya fikir tak salah ajaknya duduk sekali di rumah baharu.
“Keadaan kesihatannya kebelakangan ini pun tak bagus selepas menjalani pembedahan. Setidak-tidaknya ada yang melihat dan membantunya apabila tinggal sekali,” katanya.
Pengasas bersama empayar perniagaan Inai Che Ta itu berkata, Zain pada awal bimbang ibunya menjadi beban, namun jujurnya, dia tidak pernah berfikir begitu.
“Saya tak pernah berfikir begitu terhadap sesiapapun yang berada di bawah tanggungan ini. Saya percaya kadang-kadang Allah beri rezeki kita melalui orang lain.
“Dia pun tak cerewet dan mudah diurus. Di usianya 76 tahun, dia makan apa saja yang dihidangkan. Orang tua makan banyak mana sangat pun. Malah dia enggan menyusahkan saya termasuk pembantu rumah.
“Selama ini, masa tinggal dengan cucunya (anak Sasha Saidin), dia memang sangat kuat dan kental. Dialah yang memandu kereta menghantar cucu ke sekolah, kelas taekwondo dan membeli barangan harian. Tapi sejak kesihatannya terganggu selepas terjatuh dan pinggulnya retak hingga terpaksa jalani pembedahan, dia seakan lemah,” katanya.
Che Ta juga mengakui, ibunya juga sangat terbuka dan menyambut baik usaha mengajak ibu mentua tinggal bersama.
“Cuma lucunya, apabila ibu dan ibu mentua bersembang masing-masing macam ayam dan itik. Seorang cakap Melayu, seorang lagi berbahasa Inggeris. Saya pun terhibur melihat gelagat mereka,” katanya.
Dalam pada itu, saban tahun menyambut ulang tahun kelahiran, Che Ta tidak ketinggalan menganjurkan majlis.
Tahun ini, genap usia 50 tahun, Che Ta menganjurkan sebuah majlis santai bertemakan menuju ke syurga dihadiri keluarga, teman akrab dan pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Debat di sebuah premis terkemuka di ibu kota.
Mengenai kejutan hadiah hari lahir mengerjakan umrah tajaan teman niaganya, Anas Zahrin, Che Ta belum dapat memberikan kata putus bila nak ke Tanah Suci Makkah.
“Awalnya, saya bercadang nak menunaikan umrah sewaktu sambutan ulang tahun kelahiran tahun ini. Tapi tak menjadi kenyataan atas beberapa sebab.
“Mungkin masa terbaik kalau diizinkan, saya nak ajak suami bersama ke sana pada 10 terakhir Ramadan. Harap niat itu dipermudahkan,” katanya yang turut terbabit mengacarakan program masakan, Rasa tidak lama lagi.