'Hadiah' Anuar Zain untuk peminat buat tahun 2015
Azyyati Ahmad
Januari 28, 2015 08:26 MYT
Januari 28, 2015 08:26 MYT
Setelah menyepi selama tiga tahun tanpa sebarang album baru, penyanyi bersuara lunak Anuar Zain khabarnya akan mengeluarkan album ketujuhnya (termasuk album kompilasi) pada tahun ini.
Pengumuman itu merupakan hadiah buat peminat pada tahun 2015 setelah kali terakhir merakamkan album studio berjudul ‘Anuar Zain’ pada tahun 2011.
Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain berkata setakat ini pihaknya telah mengumpulkan enam buah lagu baru dan masih menunggu dua buah lagu lagi bagi melengkapkan album tersebut.
Tidak seperti dua album terdahulu, penyanyi yang berusia 44 tahun ini berkata album kali ini akan menggunakan khidmat komposer tempatan.
“Saya tidak memilih untuk hanya memilih komposer luar, mungkin hanya kebetulan ketika album yang lepas tidak ramai komposer tempatan yang menawarkan lagu kepada saya.
Untuk album kali ini, saya telah mengumpulkan enam buah lagu setakat ini dan kesemuanya dari komposer tempatan. Saya masih mencari dua buah lagu lagi untuk melengkapkan album tersebut” kata Anuar ketika ditemui di di sidang media majlis pelancaran CD, VCD dan DVD serta pratonton Konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari.
Anuar berkata album yang akan diterbitkan oleh syarikat rakaman Universal Muzik Malaysia ini masih mengekalkan konsep yang sama.
“Masih dengan konsep yang sama, saya berharap agar album ini dapat dihasilkan pada tahun ini dan seterusnya mengubati rindu peminat” ujarnya.
Penyanyi lelaki ini mempunyai magis yang tersendiri. - Foto Facebook Anuar Zain Network
Menyentuh mengenai pembabitannya dalam saluran media sosial, sehingga kini Anuar akui dia lebih senang merahsiakan hal-hal peribadinya.
Kata penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka ini, dirinya takut sekiranya ada gambar-gambar yang dimuat naik menyinggung hati sesetengah pihak.
“Setakat ini Facebook Anuar Zain Network merupakan saluran rasmi saya di media sosial. Saya lebih mengutamakan privasi terutamanya berkaitan hal-hal peribadi. Bagi saya, ia adalah untuk tatapan saya dan ahli keluarga terdekat.
Lagipun saya takut, jika ada foto yang dimuat naik menjadi isu serta menyinggung sesetengah pihak. Buat masa ini, saya lebih senang berkongsi hanya aktiviti seni” jelasnya.
Dalam perkembangan terbaru, adik kepada penyanyi Ziana Zain ini telah kerjasama dengan TGV Cinemas, dengan membawa konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari kepada umum di layar perak bermula Februari ini.