Habsah Hassan, Nora, Yusry (KRU) dikurnia gelaran Datuk
Saharudin Musthafa
Februari 1, 2021 09:52 MYT
Februari 1, 2021 09:52 MYT
KUALA LUMPUR: “Kalaulah Abang Johan (Allahyarham Johan Nawawi) masih ada, dia lah orang yang paling gembira atas kurniaan ini.”
Itu reaksi penyanyi terkenal, Nora yang kini rasmi bergelar Datuk Nora berikutan kurniaan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini.
Sambil mulut tidak lekang menyatakan rasa syukur pada Allah atas kurniaan yang tidak pernah dijangka, penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Di Persimpangan Dilema ini mengakui, wajah suaminya sentiasa terbayang di matanya setiap kali dikurniakan rezeki.
Dalam masa sama, Nora bersyukur, kerana ada anak-anak di sisinya untuk meraikan kurniaan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Anak-anak yang sangat teruja dan gembira. Mereka menangi bila saya kongsikan berita gembira ini. Kami kongsi kegembiraan ini bersama,” kata Nora kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Suami Nora, Allahyarham Johan yang juga seorang komposer ternama tanah air meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun.
Nora dan Johan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Mohd Syakir Iman, Mohd Syakir Alif, Putri Nur Dahlia dan Putri Nur Fateha.
Bagaimanapun, Mohd Syakir Alif meninggal dunia pada 14 Disember 2019.
Selain Nora, dua lagi penggiat seni terkenal, Habsah Hasan dan Yusry Abdul Halim (KRU) juga turut dikurniakan pingat PWM.
Habsah atau lebih mesra disapa Kak Chah merupakan penulis lirik dan skrip ternama tanah air yang sudah menghasilkan ribuan naskhah.
Bagi Habsah, 72, tiada apa yang mampu dikatakan selain bersyukur dengan kurniaan ini.
Katanya, pingat kebesaran PWM yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 ini memberi makna yang cukup besar kepadanya selepas lebih empat dekad aktif sebagai penggiat seni.
“Ini adalah kurniaan yang amat istimewa. Saya menjunjung kasih atas kurniaan daripada Yang di-Pertuang Agong. Tentu sekali anugerah kebesaran ini akan memberi motivasi kepada saya untuk terus berkarya,” kata Habsah lagi ketika dihubungi.
Sementara Yusry merupakan penyanyi kumpulan KRU yang dianggotai bersama abang dan adiknya, Datuk Norman dan Edry.
Nora, Habsah dan Yusry merupakan antara 335 penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, pengurniaan itu adalah sebagai menghargai sumbangan besar penggiat seni dan budaya terhadap lapangan mereka.
Menurut Annuar, tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bagi tahun ini sedang ditentukan mengambil kira situasi semasa penularan pandemik COVID-19.
#habsah hassan
#Kak Chah
#Nora
#Yusry KRU
#gelaran Datuk
#Hari Wilayah Persekutuan
#Yang di-Pertuan Agong
#Panglima Mahkota Wilayah