Habis GV4 isteri ajak pindah Malaysia, ini jawapan Firman
Gempak
Disember 27, 2017 22:52 MYT
Disember 27, 2017 22:52 MYT
PENYANYI Indonesia, Firman Siagian mengakui isterinya, Marissa Purwana Putri sering mencadangkan untuk berpindah dan menetap di Malaysia.
Hasrat itu disuarakan sejak Firman mulai terbabit dalam rancangan Gegar Vaganza 4 (GV4) beberapa Oktober lalu.
"Isteri saya mengajak saya berpindah ke Malaysia dan terus menetap di sini. Katanya Malaysia sangat indah dan dia sangat sukakan suasana masyarakat di sini yang gemar bersahabat.
"Tapi jawab saya jangan terburu-buru. Buat sementara waktu biarlah kami berulang-alik terlebih dahulu sehingga betul-betul serasi.
"Lagipun, penting untuk kami mengenali budaya dan cara hidup di Malaysia. Selepas itu baru boleh dipertimbangkan untuk berpindah ke Malaysia," kata Firman kepada Astro Gempak.
Firman berkata demikian sejak rutin mingguannya berulang-alik selama lebih lapan minggu sepanjang terbabit dengan GV4.
"Biasanya saya akan datang ke Kuala Lumpur untuk sesi latihan hingga ke konsert GV4 pada hari Ahad kemudian pulang ke Indonesia pada hari Isnin bagi tuntutan kerja di sana.
"Banyak persembahan saya yang pada asalnya berlangsung pada hari Jumaat diawalkan dalam tempoh waktu saya di Indonesia mulai Selasa hingga Khamis.
"Sekarang, saya kembali ke trek asal seperti mana sebelum ini," tambahnya.
Teks oleh: Amri Hassan