GV9: Pat Candy tersingkir, Jaclyn Victor terus cemerlang

Astro Awani
Oktober 16, 2022 00:03 MYT
Pat yang berduet dengan Aepul Roza daripada Drama Band menyampaikan lagu Babak Pertama, menerima markah terendah iaitu 58.4 peratus. - Gambar/ Astro Gempak
KUALA LUMPUR: Vokalis Candy, Pat menjadi peserta ketiga meninggalkan pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), pada Ahad.
Dalam konsert minggu kelima, Pat yang berduet dengan Aepul Roza daripada Drama Band menyampaikan lagu Babak Pertama, gagal memikat hati juri apabila menerima markah terendah iaitu 58.4 peratus.
Namun Pat sempat berkongsi berita gembira bakal mengeluarkan single terbaharu bersama kumpulannya.
Jaclyn Victor meneruskan kecemerlangan apabila sekali lagi mengungguli tempat pertama menerusi duet bersama Aina Abdul dalam lagu Cinta, nyanyian asal Marsha Milan.
Jaclyn memperoleh markah 92.4 peratus sekali gus membawa pulang anugerah Bintang Memukau Adabi.
Markah itu juga merupakan markah tertinggi diperolehi oleh peserta GV musim ini.
Anugerah Juara Next Level Digi dimenangi oleh Hazrul Nizam berdasarkan undian peminat menerusi Facebook Astro Gempak dan membawa pulang wang tunai RM1,000.
Dalam konsert minggu, Datuk Seri Siti Nurhaliza diumumkan sebagai duta Farm Fresh dan muncul menyampaikan lagu temanya.
Semua peserta GV9 diadili oleh juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang serta Datuk Syafinaz Selamat.
#Gegar Vaganza #Jaclyn Victor #pat candy #konsert minggu kelima
;