GV6: Mazleela redha tersingkir pada minggu kedua
Faris Danial Razi
Oktober 20, 2019 23:59 MYT
Oktober 20, 2019 23:59 MYT
Tiada lagu diberikan untuk Mazleela bagi meneruskan persaingan pada minggu ketiga konsert Gegar Vaganza musim keenam, menjadikan beliau peserta pertama yang tersingkir dalam pertandingan itu yang berlangsung pada Ahad malam.
Bagaimanapun, Mazleela redha dengan keputusan yang diumumkan tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesilapan teknikal semasa membuat persembahan.
Gaya vokal penyanyi berusia 47 tahun itu yang membawakan lagu Apa Khabarmu Di Sana, nyanyian asal Ramlah Ram, mendapat kritikan daripada juri yang menyatakan bahawa penyampaiannya itu kedengaran 'berat'.
Menurut juri profesional dari Indonesia, Hetty Koes Endang atau mesra dipanggil 'Bonda', Mazleela memerlukan pembawaan lagu yang lebih santai.
“Jangan terlalu 'berat', kerana jikalau terlalu berat, ia menjadikan kawalan ton suara itu kelihatan sukar dan banyak flat (di bawah nada),” jelas Hetty.
Dalam pada itu, Hetty sempat memberi pujian tentang penggayaan Mazleela pada malam konsert kedua itu, yang dilihat cantik.
Penyanyi Naqiu (kumpulan Boboy) di tangga teratas pada malam itu selepas memberikan persembahan bertenaga menerusi lagu kumpulan New Boyz, Meraung. Beliau akan diuji dengan lagu #123 nyanyian asal Khai Bahar bagi persembahan konsert seterusnya.
Penyanyi berasal Singapura, Hady Mirza dan Sham Visa juga antara yang berada di kedudukan terbaik pada malam berkenaan.
Sementara itu, Hady juga dinobatkan sebagai ‘Artis Cili Padi Paling Power’.
Kesemua 12 peserta yang meneruskan perjuangan untuk konsert minggu ketiga akan membawakan cabaran lagu masing-masing dalam tema 'Yang Aneh-Aneh'.