GV5: Zamani juara di hati rakyat Malaysia

Madiha Abdullah
November 19, 2018 09:25 MYT
Vokalis Slam itu mengakui ilmu yang ditimba sepanjang GV adalah pengalaman paling berharga yang akan dikenang sepanjang hayat.
Tidak bergelar juara, tetapi kalau namanya sudah lagenda, siapa mampu menafikan kehebatannya.
Tidak salahlah keputusan Zamani untuk menyertai Gegar Vaganza musim kelima (GV5) apabila namanya kembali menjadi sebutan.
Dalam konsert akhir semalam, Zamani dinobatkan pemenang tempat ketiga, namun namanya trending dan menjadi topik perbualan di laman sosial.
Ia mungkin dibantu oleh persembahan bertenaga yang diberikan, menerusi lagu Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Bunga.
Biarpun rata-rata peminat Zamani tidak berpuas hati dengan keputusan GV5, namun bagi empunya badan, berada di tempat ketiga merupakan satu kejayaan cukup manis buatnya.
"Saya bersyukur dapat memberikan persembahan terbaik malam ini. Jujurnya, dengan pelbagai dugaan sepanjang berada dalam GV, ditambah pula dengan persembahan dari peserta lain yang cukup baik, saya sudah cukup berpuas hati berada di tempat ketiga," kata Zamani.
Vokalis Slam itu mengakui ilmu yang ditimba sepanjang GV adalah pengalaman paling berharga yang akan dikenang sepanjang hayat.
"Selama ini saya hanya tahu menyanyikan lagu sendiri. Saya kurang yakin nak menyanyikan lagu orang.
"Tetapi GV mengajar saya untuk lebih yakin dengan diri sendiri. Komen-komen membina daripada juri juga memberi input untuk saya perbaiki kelemahan," tambahnya.
GV5 yang melabuhkan tirai pada Ahad, menyaksikan Zamani berada di tempat ketiga, di belakang Noryn Aziz selaku juara, dan Dia Fadila di tempat kedua.
#final #Gegar Vaganza 5 #GV 5 #konsert #konsert akhir #laman sosial #Zamani
;