GV3: Nora seperti 'anak emas' dibenar nyanyi lagu sendiri, Astro beri penjelasan
Madiha Abdullah
November 21, 2016 16:00 MYT
November 21, 2016 16:00 MYT
RATA-RATA penonton Gegar Vaganza semalam meluahkan rasa tidak puas hati selepas salah seorang peserta iaitu Nora, diberi lagu sendiri sebagai lagu tugasan di peringkat separuh akhir, minggu depan.
Ketika peserta lain diberi lagu pilihan media untuk dinyanyikan secara solo, Nora akan menyanyikan lagunya sendiri, Sandiwara.
Banyak pendapat mula diutarakan malah ada yang merasakan apa yang berlaku tidak adil kepada peserta lain, malah sesetengah pihak mula mengusik dengan mengatakan Nora seperti 'anak emas' dalam pertandingan berkenaan.
Untuk menjawab isu ini, Astro AWANI menghubungi Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad Ramli.
Kata Raqim, situasi peserta yang menyanyikan lagu sendiri pernah terjadi dalam musim-musim Gegar Vaganza yang sebelum ini, seperti Rahmad Mega dan Shima.
Jelasnya, untuk minggu separuh akhir, peserta diberi tiga pilihan lagu yang berpotensi untuk dinyanyikan.
Jika ada lagu-lagu yang diberikan tidak bersesuaian, mereka diberi kelonggaran untuk menukar lagu tersebut mengikut pilihan sendiri.
Kelonggaran diberi kepada semua peserta, atas alasan lagu-lagu yang akan disampaikan mereka itu akan menjadi tiket untuk ke peringkat akhir.
"Ketiga-tiga lagu yang diberikan tidak diterima oleh pihak Nora, mungkin kerana range yang berlainan dan sebagainya.
"Hanya Nora dan Siti Sarah yang tidak mengambil lagu yang dipilih media," jelas Raqim.
Menyentuh kelainan di peringkat separuh akhir, kata Raqim, peserta diberi lebih cabaran apabila perlu menyampaikan sebuah lagu duet dan sebuah lagu solo.
"Pasti akan ada penyingkiran kerana hanya ada enam tempat di peringkat akhir nanti," tambah Raqim.
Separuh akhir Gegar Vaganza minggu depan menyaksikan persaingan tujuh peserta iaitu Ameng, Siti Sarah, Nora, Azharina, Zarul, Intan Sarafina dan Gmie.