GV3: Demam panas, Misha Omar risau jejas persembahan dengan Siti Sarah
Gempak
November 25, 2016 16:37 MYT
November 25, 2016 16:37 MYT
PENYANYI Misha Omar, 34, akui risau tidak dapat memberikan persembahan terbaik pada malam konsert separuh Gegar Vaganza 3 (GV3) Ahad ini, kerana keadaan kesihatannya.
Misha yang bakal berduet bersama Siti Sarah menyanyikan lagu Bunga-Bunga Cinta berkata dia mengalami demam panas sejak awal minggu ini.
"Saya telah berjumpa dengan doktor dan menjalani pemeriksaan seperti biasa, doktor beritahu saya demam panas dan mungkin berjangkit daripada anak saya Muhammad Idris Ezzwa yang kini masih belum sihat.
“Demi Sarah, saya akan kuatkan semangat kerana saya mahu berikan yang terbaik untuk sahabat saya itu. Saya akan pastikan yang saya sihat sebelum konsert Ahad ini," katanya ketika dihubungi Astro Gempak.
Ketika ditanya tentang persediaannya menjelang konsert separuh akhir GV3, Misha memberitahu dia sudah bersedia 100 peratus.
“Badan tak sihat itu normal, sebagai seorang penyanyi yang profesional saya sudah mempersiapkan mental dan fizikal untuk fokus pada persembahan..
“Saya pun tak mahu Sarah hilang semangat kerana saya demam, jadi doakan yang terbaik buat kami berdua agar persembahan malam itu nanti berjalan lancar,” katanya.