Gurmit Singh 'Phua Chu Kang' kini mengutamakan keluarga

Bernama
Disember 25, 2015 16:22 MYT
Peminat-peminat Phua Chu Kang Pte Ltd tentunya masih ingat watak ini dengan rambut kerinting, tahi lalat besar di mukanya, kuku panjang serta but kuning. - Gambar fail
Aktor dan pelawak Gurmit Singh yang tersohor dengan wataknya sebagai kontraktor lucu Phua Chu Kang dalam sitcom TV Inggeris Singapura Phua Chua Kang Pte Ltd kini lebih mengutamakan keluarganya.
Beliau menamatkan karier televisyen sepenuh masa pada bulan Disember 2014 selepas 20 tahun bersama syarikat penyiar terbesar Singapura, MediaCorp.
Aktor serba boleh ini menyifatkan tahun 2015 tahun amat bermakna selepas dapat mengimbangkan kerja dan hidupnya di samping meluangkan lebih banyak masa bersama isteri serta tiga orang anaknya.
PILIH IKUT KEGEMARAN
Berusia 50 tahun, aktor Singapura yang berdarah kacukan Punjabi, Cina dan Jepun ini yang juga seorang penyanyi profesional berkata beliau kini lebih bebas untuk memilih tawaran lakonan atau watak serta persembahan mengikut kegemarannya.
"Berlakon untuk TV atau filem boleh mengambil banyak masa. Sebelum ini saya berlakon sebagai Phua Chu Kang, dalam drama, program bicara saya sendiri dan banyak lagi program sehinggakan ada kalanya saya membuat dua sesi persembahan sehari.
"Hampir tak ada masa untuk rehat antara persembahan dan saya melakukannya selama 20 tahun.
"Sewaktu cuti sekolah pada bulan Jun dan Disember baru-baru ini, saya membuat keputusan tak mahu bekerja langsung. Saya mahu menghabiskan masa dengan anak-anak saya. Saya boleh buat duit lagi apabila anak-anak saya kembali ke sekolah," beliau memberitahu Bernama ketika ditemui di Kota Kinabalu baru-baru ini.
PROGRAM DI SABAH
Aktor ini datang ke Sabah untuk bercuti dengan keluarganya tiga tahun lalu dan kembali ke negeri ini minggu lepas untuk muncul sebagai tetamu khas program Krismas gereja Skyline Sidang Injil Borneo (SIB) dari 19 hingga 20 Dis di sebuah hotel di sini.
Gurmit baru selesai menyiapkan pengeluaran filem bertajuk ‘Young and Fabulous’ dan dijangka ditayang di pawagam pada tahun 2016.
Beliau juga sedang menyiapkan sebuah buku yang dijangka diterbitkan pada bulan November tahun depan.
Peminat-peminat Phua Chu Kang Pte Ltd tentunya masih ingat watak ini dengan rambut kerinting, tahi lalat besar di mukanya, kuku panjang serta but kuning.
Watak ini juga sinonim dengan ucapan "Best in Singapore, JB and some say Batam" dan "Don’t play play" yang diungkapkannya sebagai ‘pray pray’ dalam bahasa Inggeris pasar.
Sitcom ini bertahan selama lapan musim di saluran 5 TV MediaCorp dari September 1997 hingga Februari 2007. Ia kemudian menghasilkan sitcom 'spin off', Phua Chu Kang Sdn Bhd yang dikeluarkan sepenuhnya di Malaysia dan disiarkan di ntv7 dari tahun 2009 hingga tahun 2010.
PERSEMBAHAN DI GENTING HIGHLANDS
Gurmit akan menjadi pengacara persembahan komedi ‘Laugh Die You – The Mob Show’ ketiga sebagai Phua Chu Kang di Genting Highlands pada 9 Jan depan.
Ini ekoran sambutan hebat yang diterima untuk dua persembahan awalnya yang diadakan di Kuala Lumpur pada bulan Mei dan Oktober tahun ini.
Turut serta bersama beliau untuk persembahan komedi itu nanti adalah pelawak Malaysia Harith Iskander dan Rizal van Geyzel serta pelawak Singapura, Fakkah Fuzz dan Mark Lee.
Gurmit mendirikan rumah tangga dengan isterinya Melissa 21 tahun lalu.
Pasangan ini tinggal bersama anak mereka, Gabrielle, 18, anak lelaki Elliot, 15 serta anak perempuan bongsu, Mikaela berusia dua tahun di Singapura.
#Gurmit Singh #Phua Chu Kang
;